KUALA LUMPUR, 1 Julai — Dewan Pemuda PAS pusat kesal dengan tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyiarkan iklan khas dengan tujuan memberikan gambaran buruk terhadap Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Menurut Ketua Peneranganya Riduan Mohd Nor, iklan khas itu mula disiarkan di TV2 sejak semalam dengan memaparkan tiga pelakon muda negara.
“Iklan pendek berkenaan dimulai dengan salah seorang pelakon menunjukan risalah Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) yang kemudiaannya disambut baik oleh pelakon Bell Ngasri yang menyatakan minat untuk menyertai perhimpunan di awalnya.
“Kemudian pelakon ketiga, Ezany Nizariff pula menunjukan klip video huru-hara yang berlaku di luar negara dan mengatakan bahawa itulah yang akan berlaku dalam himpunan Bersih.
“Rakyat terancam dan pelancong pun akan lari dan iklan itu di akhiri dengan Bell mencampakkan risalah Bersih dan mengatakan perhimpunan itu adalah perhimpunan kotor,” katanya dalam satu kenyataan.
Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih yang disokong Pakatan Rakyat mendapat respons negatif di media arus perdana selain turut mendapat kecaman daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Umno dan Perkasa.
Sejak sebulan yang lalu, Himpunan Bersih 2.0 dikecam hebat dalam media arus perdana, malah polis juga memulakan tindakan keras dengan menahan lebih 100 setakat ini.
Sekitar 2,000 laporan polis dibuat ke atas Himpunan Bersih 2.0.
Selain itu, dalam khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini turut mengecam Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan pihak penganjur sebagai gerakan pelampau.
Tegas Riduan, iklan anti-Bersih itu sengaja disiarkan bagi memberikan gambaran negatif kepada rakyat mengenai Himpunan Bersih 2.0.
“Iklan yang dirakamkan disebuah kedai kopi ini sengaja disiarkan bagi meningkatkan salah faham rakyat terhadap Bersih, kami kesal kerana RTM sanggup menyalahgunakan wang rakyat untuk membuat fitnah kepada himpunan rakyat yang aman ini.
“Dengan sendirinya RTM membiarkan dirinya menjadi alat politik pihak-pihak yang takut kepada himpunan Bersih... lebih mendukacitakan bila mana RTM tiada bukti untuk menggambarkan keganasan dan huru hara yang berlaku dalam Himpunan Bersih hingga terpaksa mencuri rakaman video dari luar negara pula,” katanya.
Selain menuntut RTM menghentikan penyiaran iklan berunsur fitnah itu, Riduan menegaskan pihaknya mencabar agensi penyiaran itu menganjurkan debat secara langsung di TV1 dan TV2 agar rakyat menilai sendiri tuntutan yang dibuat Bersih.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
“Kami mencabar RTM untuk menganjurkan debat secara langsung di TV1 dan TV2 dengan menjemput wakil Bersih atau komponennya dan juga wakil SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) atau BN supaya rakyat boleh menilai sendiri tuntutan Bersih dan perjuangannya,” katanya.
Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.
No comments:
Post a Comment