Friday, July 1, 2011

Mat Sabu: Bersih 2.0 lebih manfaatkan Pakatan banding himpunan 2007

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Pakatan Rakyat dijangka akan memperoleh lebih banyak manfaat daripada Himpunan Bersih 2.0 9 Julai ini berbanding kempen pertama mereka pada 2007 ekoran sokongan besar daripada kesemua kaum, kata timbalan presiden PAS Mohamad Sabu.

Protes tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya pada 2007 yang diadakan beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008. Pembangkang menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan menguasai lima negeri.

“Peluang kami adalah lebih baik pada kali ini kerana adanya blog dan Facebook,” kata Mohamad (gambar) dalam temu bual dengan The Malaysian Insider semalam.

“Sokongan bagi Bersih sangat kuat daripada semua kaum,” kata beliau yang dipilih sebagai nombor dua PAS awal bulan lalu.

Parti Islam itu menjanjikan akan mengerah ribuan ahlinya menyertai Himpunan Bersih penghujung minggu depan.

Beliau yang turut dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata, perarakan menuntut pilihan raya yang bebas dan adil menjelang pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan bila-bila masa, akan mendorong rakyat melawan elemen penipuan dalam sistem pilihan raya.

Bersih 2.0 mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perhimpunan pada 9 Julai.

Sementara pentadbiran Najib mula mengenakan tindakan kekerasan, Bersih 2.0 mula membawa pendekatan mereka menerusi online dengan menggunakan nama “Ops Kuning”.

Kumpulan itu mendakwa dapat akses kepada 50,000 penyokong menerusi akaun Facebook rasminya dan 10,000 pengikut Twitter.

Sehingga petang semalam Bersih 2.0 mempunyai 20,498 pengikut Facebook dan 3,945 orang mengikuti menerusi Twitter.

Di Facebook, kebanyakan pengguna meminta rakyat Malaysia menyertai perhimpunan untuk menuntut perubahan dan menentang rasuah.

“Tetapi cabaran yang kita hadapi ialah sistem undi pos. Pakatan Rakyat tidak boleh buat apa-apa buat masa sekarang mengenai monopoli dan penipuan dalam undi pos,” kata Mohamad.

“Undi pos hanya seharusnya bagi mereka yang bekerja dan pelajar di luar negara, dan juga polis dan tentera yang bekerja di luar negara. Tetapi kini undi pos digunakan bagi keseluruhan pasukan polis, tentera dan isteri-isteri mereka, yang sebenarnya tidak logik dan tidak betul,” katanya lagi.

Pasukan keselamatan lazimnya dilihat sebagai “bank undi” yang memihak BN.

Kerajaan menegaskan sistem pilihan raya negara ini bebas dan adil, dengan mendakwa pembangkang telah memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment