KUALA LUMPUR, 11 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal kerajaan Malaysia masih mendiamkan diri dan tidak mengambil inisiatif untuk membantu dan bersuara agar krisis di Libya dapat diselesaikan bagi mengelakkan pertumbuhan darah berterusan. Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sepatutnya negara-negara umat Islam seperti Malaysia mengambil inisiatif untuk berperanan menggerakkan proses perundingan dan penyelesaian segera kepada krisis yang berlaku di Libya. Sehubungan itu, katanya Mapim menggesa kerajaan Malaysia dengan segera menggerakkan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Libya. “Sebagai sebuah negara yang menganggotai OIC, Malaysia tidak boleh membisu dan tidak bertindak,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Mapim, tambahnya menggesa misi bantuan kemanusiaan hendaklah segera dihantar ke Libya memandangkan ketegangan tersebut telah mengakibatkan bekalan makanan dan ubatan terputus di beberapa kawasan di Libya seperti di Zawiyah, Ras Lanuf, Brega, Benghazi dan di sempadan Tunisia dan Mesir di mana ratusan ribu pelarian kini sangat memerlukan bantuan sementara menunggu krisis reda. Mapim juga, jelasnya mendesak sidang Parlimen Malaysia yang berjalan sekarang segera mengusulkan supaya semua agensi antarabangsa sepetrti OIC , PBB, Liga Arab, Kesatuan Eropah, Kesatuan Afrika mengambil inisiatif supaya krisis di Libya diselesaikan dengan rundingan demi mengelakkan pertumbuhan darah terus berlaku. “Mapim menggesa sidang Parlimen Malaysia mengambil inisiatif untuk menghantar delegasi khas bagi mendapatkan maklumat lebih dekat mengenai ketegangan yang berlaku di Libya dan mengesyorkan tindakan yang boleh diambil oleh Malaysia sendiri,” ujarnya. Beliau turut mengumumkan bahawa suatu kutipan derma untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Libya sedang dilancarkan dan delegasi khas juga akan dihantar untuk menyalur bantuan tersebut sesegera mungkin. Katanya lagi, ketegangan yang sedang berlaku, antara golongan anti Gaddafi dan tenteranya sekarang semakin runcing dan kini memuncak kepada perang saudara yang amat merbahaya. Katanya, laporan serangan tentera Gaddafi yang menggunakan jet pejuang untuk menyerang kawasan yang dikuasai oleh golongan pemberontak telah mengakibat kan ramai yang terbunuh dan cedera terutama di kalangan rakyat awam. Menurutnya, jika dunia membiarkan kuasa Barat terutama Amerika bertindak, keadaan di Libya akan mengulangi apa yang berlaku di Iraq. Amerika, ujarnya tidak boleh dibiarkan mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai polis dunia dengan cara melancarkan operasi militeri ke Libya. Beliau menambah, serangan oleh Amerika sekali lagi akan menjadi prisiden untuk negara adikuasa itu melakukan kehendaknya secara unilateral tanpa mendengar suara masyarakat antarabangsa yang lain. Katanya, Resolusi 1970 yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB hendaklah dilihat sebagai suatu alat untuk menyekat Gaddafi dari terus bertindak ganas terhadap rakyatnya sendiri. Menurutnya, Mapim merasa amat malang apabila negara-negara Arab di Teluk serta badan antarabangsa di kalangan umat Islam iaitu OIC terus membisu dan tidak mengambil inisiatif untuk meredakan keadaan demi menyelamatkan nyawa rakyat di Libya. Katanya lagi, ketegangan di Libya kini telah menyebabkan pihak kuasa Barat terutama Amerika dan British sudah melancarkan beberapa tindakan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan serta menyebabkan Libya berada di ambang perang sivil yang bakal menghancurkan seluruh negara tersebut. - Harakahdaily |
” Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan akan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap satu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil, hendaklah kamu berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengatahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan “ Al-Maidah:8
Friday, March 11, 2011
Libya: Mapim kesal Malaysia masih berdiam diri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment