|
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) ingin menyatakan sokongan dan mengalu-alukan dasar kerajaan Kedah yang tidak mengeluarkan lesen untuk premis judi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.
“Dasar ini wajar disokong kerana rakyat Kedah tidak harus didedahkan dengan industri yang boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat,” ujar presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid kepada Harakahdaily.
Teras, katanya ingin menyatakan pendirian tegasnya bahawa judi bukanlah suatu yang didokong oleh semua masyarakat bukan Islam.
Menurutnya, dalam penemuan Teras memang ramai warga masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam yang menolak industri itu kerana ia jelas memberi kesan yang buruk kepada masyarakat dalam berbagai aspek.
Judi, ujarnya tidak kira berskala kecil atau besar tetap memberi kesan kepada kestabilan keluarga, motivasi kerja ,kadar jenayah sosial, keutuhan ekonomi masyarakat serta juga kepada nilai hidup indvidu.
Sebab itu, tambahnya judi perlu dibanteras dalam masyarakat secara lebih menyeluruh kerana kestabilan sosio-ekonomi dan budaya masyarakat perlu dipertimbangkan agar tidak menjadi mangsa kepada ketagihan judi.
Pada analisis akhir, katanya membiarkan masyarakat terdedah dan rela untuk berjudi adalah suatu pengabaian terhadap tanggungjawab sosial di pihak pemerintah sendiri.
Justeru, tegasnya Teras membantah dengan keras kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang beria-ia untuk mempertahankan hak orang bukan Islam untuk berjudi.
“Soalnya untuk apa Chua mahu membenarkan orang bukan Islam merosakkan kehidupan mereka hanya kerana beliau berpegang bahawa berjudi adalah hak yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan warga negara ini untuk berjudi,” katanya.
Menurutnya lagi, Chua berniat jahat untuk cuba memburukkan imej kerajaan negeri Kelantan pada kaca mata orang bukan Islam seolah-seolah kerajaan Kelantan mahu memaksakan perlaksanaan Islam ke atas orang bukan Islam di negeri tersebut.
Katanya, Teras mempersoalkan atas asas apa Chua mengatakan orang bukan Islam mahu berjudi dan hak berjudi mereka mesti dipertahankan.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab , Teras berpendapat , kerajaan mesti memberi kepentingan kepada rakyat supaya hidup dengan budaya yang sihat dan tidak terlibat dengan budaya berjudi yang merosakkan,” katanya.
Dalam kajian Teras, ujarnya rakyat Malaysia berbelanja tidak kurang daripada RM10 bilion setahun untuk berjudi dalam judi yang berlesen, tidak termasuk judi tidak berlesen.
Katanya, kesan yang jelas ialah pemilik dan pengusaha industri judi mengaut keuntungan berlipatkali ganda sedangkan mereka yang terperangkap dengan ketagihan judi menanggung penderitaan yang pelbagai kerana menghadapi masalah untuk melunaskan bayaran kerana kalah judi.
Sehubungan itu, tambahnya Teras menggesa pihak kerajaan negeri Kedah memantau premis yang menjalankan judi tidak berlesen yang semakin berleluasa tumbuh kebelakangan ini.
Teras juga, katanya dalam masa yang sama menggesa supaya Kementerian Kewangan bertegas untuk menghadkan pengeluaran lesen judi dan mengujudkan rancangan untuk akhirnya menghapuskan pengeluaran lesen judi. |
|
No comments:
Post a Comment