Friday, March 18, 2011

Cegah Sebelum Parah , Sekira Semakin Parah Pasti Akan Menuju Rebah..

Audit sah belanja sambutan Yayasan Selangor tak telus, timbalan GM dipecat

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Laporan Audit berhubung pengurusan perbelanjaan majlis ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor menunjukkan wujud beberapa kelemahan di agensi itu, antara lain perbelanjaan tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos sambutan hujung tahun lalu mencecah RM1 juta.
Malah terdapat wang telah selesai dibayar kepada pengurus acara sedangkan aktiviti yang diatur belum dilaksanakan.
Susulan syor dikemukakan laporan audit, kerajaan negeri Selangor juga telah memutuskan menamatkan kontrak perkhidmatan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor bulan lalu.

Sedutan laporan audit diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.
Khalid berkata, laporan audit itu disemak oleh Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Semakan audit banyak menumpu hal-hal berkaitan pengurusan perbelanjaan majlis ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dirancang untuk diadakan 15 November lalu.
Kata Khalid, hasil audit dalaman bertarikh 14 Disember mendapati terdapat beberapa isu berkaitan aturan perbelanjaan yang dikatakan tidak mengikut aturan biasa.
“Terdapat juga tindakan yang dikatakan tidak menjaga kepentingan Yayasan Selangor,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Selain pengurusan perbelanjaan sambutan, kata Khalid kelemahan lain yang dikesan ialah tadbir urus korporat yang tidak baik di mana seramai 18 warga kerja telah berhenti dan 50 lagi ditukarkan dalam tempoh Mac hingga November tahun lalu.
Pengurus Besar juga meluluskan elaun-elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada Ahli Mesyuarat,” kata Menteri Besar.
Malah menurut Khalid, terdapat 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang tahun lalu hanya melalui ‘Circular’ Resolusi, malah tidak dimaklumkan atau diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut kehendak Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993 — arahan bagi meningkatkan kualiti perancangan dan kawalan ke atas pengurusan syarikat-syarikat kerajaan.
“Semakan Audit juga mendapati, Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan) tidak menghormati arahan bercuti dalam siasatan dengan hadir mesyuarat yang dihadiri Pengurus Besar. Perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November 2010,” kata beliau.
Sehubungan itu tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor telah dan akan terus meneliti setiap syor yang diberikan dan akan menggunapakai cadangan tersebut dari semasa ke semasa demi menjaga kredibiliti Yayasan Selangor milikan penuh kerajaan negeri.
Khalid juga menambah, satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap kuiri yang ditimbulkan pada 5 Januari lalu.
“Proses yang teratur, adil dan bebas telah dijalankan. Pandangan serta saranan dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga telah diperoleh.
“Akhirnya pada 17 Februari 2011, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor telah sebulat suara memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggungjawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan,” katanya lagi.
Seterusnya pada 18 Februari lalu, satu surat yang ditandatangani Khalid sendiri telah dikeluarkan yang mengarahkan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam berkuat kuasa serta merta.
“Kerajaan Selangor sentiasa berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Adalah menjadi harapan kerajaan negeri semua institusi termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri bukan sahaja mengamalkan perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum,” katanya lagi.
Khalid menambah, kerajaan negeri Selangor akan sentiasa bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak-anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri. Kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah yang diberikan rakyat Selangor.
Akhir bulan lalu, Khalid berkata akan mengumumkan tidak lama lagi butir-butir lengkap laporan audit mengenai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor.
Beliau berkata ini perlu demi menjelaskan kepada umum tentang kedudukan sebenar kedua-dua anak syarikat negeri itu.
Yayasan Selangor disiasat baru-baru ini selepas ia dikatakan membelanjakan RM300,000 untuk majlis makan malam ulang tahun ke-40nya, yang menyebabkan Sultan Sharafuddin Idris Shah rasa kurang senang, dan enggan menghadiri majlis.
PKNS pula dikatakan telah menaja perkahwinan angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha pada jumlah lebih RM500,000.

No comments:

Post a Comment