Tuesday, January 11, 2011

Tiada elemen rasis dalam Interlok, kata Anwar

PETALING JAYA, 11 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, novel Interlok yang menjadi kontroversi dan pertikaian sejak kebelakangan ini sebenarnya tidak membawa elemen “rasis” dan minta pihak-pihak yang mempersoalkannya supaya berbincang menyelesaikan pertikaian mereka.
“Saya dah baca novel ini (Interlok) sudah lama, saya tidak nampak apa-apa yang rasis pun.
“Saya rasa kita perlu adakan perbincangan untuk selesaikan perkara ini,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Anwar (gambar) yang juga Ketua Umum PKR itu berkata, tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu satu novel yang baik tetapi bukan istimewa.
“Saya juga lihat novel ini tidak ada penghinaan kepada mana-mana kaum, jadi saya cadangkan Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyuddin Yassin) perlu dengar setiap teguran,” katanya.
Dalam kenyataannya disiarkan media hari ini, Abdullah mempertahankan novelnya sambil menegaskan beliau tidak bermaksud mahu menghina masyarakat India negara ini.
Sehubungan itu beliau meminta mereka yang mempertikaikannya agar membaca kandungan novel itu dengan mendalam sebelum melahirkan pendirian mereka.
Novel itu yang kini berusia empat dekad telah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk dijadikan teks sastera mulai tahun ini.
“Baca betul-betul (teks Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India,” kata beliau.
Semalam lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis mengenai insiden pembakaran novel Interlok oleh sekumpulan penduduk di depan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang di Klang, Sabtu lepas.
NGO berkenaan ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan PIBG Nasional dan Persatuan Ikatan Melayu Asli Nusantara.
Kira-kira 100 penduduk berketurunan India mengadakan demonstrasi sambil membakar novel Interlok di hadapan Dewan Sentosa mendesak kerajaan mengharamkan novel tersebut dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks sastera.
Sebelum ini, Pena menegaskan pihaknya tidak tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mahu meminda atau menarik balik buku teks sastera Interlok tulisan Abdullah, yang menjadi kontroversi setelah 40 tahun digunakan sebagai tulisan sastera.
Malah, Pena bercadang mahu mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dalam tempoh terdekat bagi membincangkan kontroversi tersebut.
Muhyiddin dilapor telah mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran bagi mengkaji semula penggunaan novel Interlok sebagai buku teks subjek sastera mulai tahun ini.
Menurut timbalannya Dr Mohd Puad Zarkashi, kajian itu perlu dilakukan secara serius supaya penggunaan novel itu tidak mendatangkan pelbagai masalah terutamanya membabitkan keharmonian kaum di negara ini.
Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Ada pandangan yang mengatakan aspek kontroversi juga membabitkan kaum-kaum lain.
Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

No comments:

Post a Comment