Tuesday, January 11, 2011

Negara Islam PKR, DAP lebih Positif dari Umno & BN itu sendiri..

Pakatan rakyat lebih positif dengan isu Negara Islam dari Umno&BN itu sendiri . dan ia boleh menenggelamkan Umno/BN dalam pilihan raya akan datang sekiranya ia menjadi realiti .

Negara Islam: Hadi lihat PKR, DAP kini lebih positif

Gambar fail Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR, 11 Jan — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat sudah ada perkembangan yang “sangat positif” di kalangan rakannya dalam Pakatan Rakyat berhubung soal dasar negara Islam yang dibawa parti itu. Bulan lalu, dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Kedua, Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh melahirkan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan Hadi dan juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika boleh dalam kadar yang segera.
Sehubungan itu, Hadi berpendapat bahawa berita terbitan The Star semalam di bawah tajuk “PAS won’t bow to pressure from any quarter”, yang memetiknya telah memberikan gambaran salah terhadap ucapannya pada satu majlis di ibu negara kelmarin.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Politik Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Presiden PAS itu sebenarnya telah menjelaskan bahawa parti tersebut melihat perkembangan yang sangat positif di kalangan rakan dalam Pakatan Rakyat dalam memahami maksud Islam yang ingin dibawa oleh PAS, di mana ia adalah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang turut dipertahankan oleh semua pihak dalam perikatan berkenaan.
“Perubahan paradigm ini memperkukuhkan lagi kerjasama erat PAS bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bertepatan dengan semangat dalam dasar bersama dipersetujui, sebagaimana dirangkakan dalam Dasar Bersama Muafakat Rakyat,” kata beliau.
Samsuri menambah, apa yang dipertegaskan oleh Presiden PAS pada Majlis Suai Kasih di ibu negara kelmarin adalah rentetan terhadap ucapannya pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 19 Disember lalu bahawa PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi persekutuan.
Katanya, perubahan yang ingin dilaksanakan adalah semestinya dalam ruang lingkup Perlembagaan pusat dengan mengambil kira Islam sebagai agama rasmi negara dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar tanpa menjejaskan amalan penganut agama lain.
“Inilah yang ingin ditonjolkan oleh PAS, bahawa Islam adalah adil untuk semua.
“Oleh yang demikian maksud laporan dalam pemberitaan akhbar The Star pada tarikh berkenaan adalah tidak benar dan tersasar dari apa yang diucapkan sama sekali,” katanya.
Dalam ulasan sehari selepas konvensyen bulan lalu, Hadi berkata beliau juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan sesiapa sahaja termasuk Karpal bagi menyelesaikan isu negara Islam.
Hadi berkata, partinya sentiasa terbuka untuk menjelaskan isu negara Islam kepada rakyat dan juga pemimpin-pemimpin politik negara ini.
“Kita sentiasa terbuka untuk beri penjelasan dalam isu ini (negara Islam), kita juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan sesiapa sahaja termasuk Karpal.
“Saya sentiasa berjumpa dengan Karpal, cuma kita perlukan masa, berikan masa kepada PAS untuk jelaskan isu ini kepada rakyat,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.
Isu negara Islam ini menjadi pendebatan utama PAS dan DAP, dan dilihat menjadi “duri dalam daging” dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR sekiranya tidak mencapai kata sepakat berhubung isu itu.
Semasa menggulung perbahasan Konvensyen Pakatan Rakyat, Karpal mahu isu negara Islam yang dibawa oleh PAS selama ini dan dilihat menjadi ‘halangan’ kepada Pakatan Rakyat terus bergerak ke depan, diselesaikan dengan segera agar tidak digunakan sebagai senjata oleh musuh-musuh politik mereka.
Sehubungan itu, Karpal berkata, beliau yakin perkara tersebut boleh dibincangkan dan dicari jalan penyelesaian.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan dengan segera supaya tidak dijadikan isu oleh musuh kita,” katanya.
Dalam ucapannya Karpal juga menjelaskan bahawa kata-kata ‘over my dead body’ yang dilafazkan pada 1990, tahun PAS mengambil alih kerajaan negeri Kelantan, telah difahami di luar konteks.
Ketika konvensyen sulung Disember 2009, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Karpal akan terbuka hati untuk menerima idea negara Islam.
Kedua-dua Karpal dan Nik Aziz muncul di pentas yang sama dan duduk bersebelahan pada konvensyen Disember 2009.
Karpal berkali-kali menegaskan meskipun DAP semakin selesa membina ikatan kukuh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat manakala parti-parti sekular Umno dan PKR pula giat memikat para ulama, ia masih berpendirian menentang usaha pembentukan sebuah negara Islam.

1 comment:

  1. Kitab " Ajhizah Daulah al - Khilafah ", Persedian Berdirinya Negara Islam

    http://ibnuyassir.blogspot.com/2011/01/kitab-ajhizah-daulah-al-khilafah.html

    ReplyDelete