Wednesday, August 18, 2010

Khalwat waktu puasa

2010/08/18 GEORGETOWN: Sepasang kekasih dicekup Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas disyaki berkhalwat di sebuah pangsapuri di Lintang Pantai Jerejak, Bukit Jambul, kelmarin.
Serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu dibuat selepas menerima aduan awam. Ketika diserbu, lelaki yang berusia 39 tahun dan sudah berkahwin itu bersembunyi di satu ruang kecil yang terletak berhampiran tingkap di beranda pangsapuri berkenaan.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata selepas mengetuk pintu rumah berkenaan, seorang wanita berusia 33 tahun yang lengkap berpakaian membuka pintu selepas diberi amaran oleh pihaknya.

“Pada mulanya wanita itu mengaku tinggal seorang diri dan selepas pemeriksaan dilakukan, kami menemui seorang lelaki menyorok di beranda dengan ditutupi ampaian pakaian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, sekeping kondom yang sudah digunakan dan beberapa kondom yang belum digunakan turut ditemui dalam rumah itu walaupun pasangan terbabit mengaku tidak melakukan sebarang hubungan mahram.

Bagaimanapun, katanya, ketika soal siasat lelaki itu akhirnya mengaku berstatus suami orang dan rumah berkenaan adalah rumah sewa milik teman wanitanya bersama dua lagi rakan.

“Namun ketika pemeriksaan dilakukan, dua rakan serumah wanita berkenaan tiada di rumah ketika itu dan pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk dibuat laporan tangkapan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment