Wednesday, August 18, 2010

Buang janin dalam tong

2010/08/18 MELAKA: Tindakan seorang wanita berusia 22 tahun dipercayai cuba menyembunyikan janin yang baru dilahirkannya di dalam sebuah tandas di Hospital Melaka, di sini, dengan membuangnya dalam tong sampah gagal apabila perbuatan kejamnya terbongkar, semalam.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa sebelum itu dihantar ke wad untuk rawatan selepas mengadu sakit perut kepada keluarganya.

Menurutnya, keluarga gadis terbabit tidak mengesyaki apa-apa ketika menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan itu.

“Ketika dirawat, gadis terbabit yang belum berkahwin dikatakan masuk ke tandas sebelum melahirkan janin berkenaan lalu membungkusnya serta meletakkannya di dalam tong sampah.

“Gadis terbabit kemudian kembali semula ke katilnya kerana mengalami kesakitan dan doktor yang memeriksanya mengesyaki sesuatu berlaku selepas melihat kecederaan dialaminya.

“Doktor kemudian bertanya kepada gadis terbabit yang akhirnya mengaku melakukan perbuatan itu (melahirkan janin dan membuangnya),” katanya.

Menurutnya, doktor terbabit kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu sebelum sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Seksual (D11) dan Forensik melakukan pemeriksaan di tempat pembuangan sampah bagi mengesan janin berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.

“Setakat ini, polis hanya menyoal siasat gadis terbabit dan tidak menahannya memandangkan dia masih dirawat di wad,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.

Tinjauan ke tempat kejadian mendapati beberapa kakitangan syarikat pembersihan sedang melakukan kerja mencari janin dalam longgokan sampah berkenaan.

No comments:

Post a Comment