Saturday, December 12, 2009

Selongkar sampah demi sesuap nasi - kerajaan Selangor perlu bertindak segera

Jangan sampai kera di hutan disusukan anak diriba mati kelaparan..
kerajaan rakyat bertindak untak kepentingan rakyat..

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my

RAWANG: “Saya terpaksa memberanikan diri menyelongkar tong sampah mencari tin minuman terpakai pada waktu malam untuk mencari rezeki menyara keluarga yang serba daif ini,” kata ibu tunggal, Sarizah Kamaruddin, 33.
Menurut Sarizah, selepas berpisah dengan suami, Osman Abdullah, dua tahun lalu, dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara anak, Siti Nur Balqis, 18 bulan, bapanya yang uzur, Kamaruddin Bisa, 70, bersama dua adik iaitu Sharifah Hernani, 29, dan Sharidatul Nadiah, 28, serta kakak tiri, Zaleha Mohammad, 47, yang semuanya cacat penglihatan.

Katanya, dia perlu mencari rezeki sehingga awal pagi setiap hari selepas anaknya tidur dan dijaga ahli keluarga lain di Taman Bersatu di sini.

“Saya bersyukur diberikan Tuhan kekuatan semangat dan tenaga serta mampu mencari rezeki halal waktu malam. Tin minuman dikutip dijual dengan harga RM3.80 sekilogram di pekan Rawang pada pagi esoknya.

“Ayah yang juga bekas buruh Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah uzur dan menghidap penyakit buah pinggang memerlukan perhatian sepenuhnya daripada kami yang serba kekurangan ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Dia berkata, hasil penjualan bekas minuman diperoleh kira-kira RM10 hingga RM20 setiap hari digunakan untuk membeli susu anak dan keperluan harian untuk menyara keluarga.

“Saya tidak menerima sebarang bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Hanya kakak, Zaleha menerima sumbangan JKM sebanyak RM80 sebulan dan ayah pula dibantu LZS RM200 sebulan.

“Kemiskinan yang mencengkam ini memaksa kami mencatu makanan setiap hari, tetapi bersyukur mampu meneruskan kehidupan dengan penuh kesabaran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Matahari dan Bulan, M B Raja, bersama pemilik Restoran Ali Maju cawangan Rawang, Asbar Ali Mohd Naheeb serta wakil Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Rawang, Makbul Ahmad menghulurkan bantuan keperluan makanan harian ketika berkunjung ke rumah keluarga itu, semalam.

Raja berkata, beliau akan berusaha membantu keluarga berkenaan dan bersedia mengajukan segala permohonan mereka kepada jabatan berkaitan seperti JKM dan LZS untuk menilai semula bantuan yang diberikan.

“Saya mahu keluarga ini diberi perhatian sewajarnya oleh agensi berkenaan dan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka.

“Semua pihak serta jabatan bertanggungjawab perlu memandang serius kedaifan keluarga ini untuk dibantu,” katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Sarizah di talian 017-3404766

No comments:

Post a Comment