Sunday, October 2, 2011

Hudud: Nik Aziz doa dapat majoriti di Parlimen

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau berdoa supaya memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini. Mursyidul am PAS itu berkata hudud adalah perlu dan wajib seperti juga amalan penting yang lain dalam Islam, seperti solat, puasa atau mengerjakan haji. Beliau berkata selepas mesyuarat baru-baru ini di antara pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor, DAP yang menentang undang-undang itu, telah menerima cadangan Kelantan untuk melaksanakannya di negeri itu. Sekutu Pakatan Rakyat juga telah menerima hakikat bahawa undang-undang jenayah Syariah telah disokong oleh semua ADUN Kelantan, termasuk dua wakil rakyat Umno, katanya. Undang-undang itu, katanya, akan dilaksanakan di mahkamah Syariah untuk orang Islam, dan bukannya di mahkamah sivil. Bercakap kepada pemberita di majlis sambutan ulangtahun ke-60 PAS di Kepala Batas, Pulau Pinang, Nik Aziz berkata, adalah pelik hukuman mati diterima di Malaysia, tetapi tidak pula undang-undang hudud yang tidak menghukum orang dengan hukuman mati. Apabila diberitahu bahawa Umno menuduh DAP menghalang PAS daripada melaksanakan hudud di negara ini, Nik Aziz berkata soalan itu harus ditujukan kepada DAP. Menurutnya, di Kelantan, masyarakat Cina menerima hudud kerana ia akan memberi manfaat kepada mereka. Sebagai contoh, dalam kes rompakan, orang Cina yang kaya akan gembira jika pelakunya dihukum mengikut undang-undang hudud, katanya.

No comments:

Post a Comment