Sunday, August 21, 2011

Bapa hantar lima beradik ke rumah amal gereja

PETALING JAYA: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak sampai dua minggu lagi, lain pula dengan nasib lima beradik beragama Islam yang terpaksa menyambut 1 Syawal di bawah pengawasan sebuah gereja, dekat sini.
Semuanya gara-gara tindakan bapa mereka menyerahkan lima beradik terbabit kepada gereja itu selepas dia dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.
Yang menyedihkan, lelaki itu yang juga doktor, enggan menyerahkan anaknya kepada pusat jagaan kerajaan atau organisasi swasta beragama Islam biarpun pihak gereja bersedia berbuat demikian.
Menyedari masalah itu, sebuah badan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berusaha mengeluarkan lima beradik berusia lima hingga 15 tahun itu daripada jagaan gereja.
Kes itu terbongkar selepas pengurusan gereja menghubungi pusat kebajikan terbabit kerana tidak mahu berlaku isu berbangkit, terutama selepas isu serbuan di Gereja Methodist, Damansara Utama, dekat sini, dilaporkan 4 Ogos lalu.
Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah, berkata pengurusan gereja memaklumkan kehadiran lima beradik itu kepadanya dan ingin menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan Baitul Fiq.
“Selepas beberapa kali membuat perbincangan dengan pengurusan gereja, mereka bersetuju menyerahkan kanak-kanak terbabit, namun hasrat itu dihalang bapa mereka dengan alasan tidak mahu anaknya diserahkan kepada pihak lain.
“Pihak gereja pula tidak mahu kehadiran kanak-kanak itu menjadi isu sensitif dan meminta mereka diserahkan kepada pihak lain (pengurusan beragama Islam),” katanya.
Menurutnya, pendirian bapa kanak-kanak terbabit menyebabkan pengurusan gereja dalam dilema dan meminta jalan penyelesaian daripada pengurusan Baitul Fiqh.
“Inilah permuafakatan yang wujud dalam konteks bebas beragama di negara kita, tetapi masalah lain pula timbul apabila waris kanak-kanak itu enggan menyerahkan anaknya kepada pihak kita.
“Sebenarnya, saya tidak pasti apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak pernah mengendalikan kes seperti ini selain tiada kuasa mengambil hak penjagaan daripada waris yang memberi amanah kepada pihak lain.
“Yang saya khuatir ialah soal akidah lima beradik itu dan saya sedih dengan tindakan si bapa menempatkan mereka dalam gereja,” katanya.
Juhaidi Yean berkata dia bersedia memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika diminta berbuat demikian, malah pengurusan gereja turut bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.
Katanya, lebih menyedihkan, anak sulung keluarga itu bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tahun ini, dan kemelut yang berlaku dikhuatiri turut menjejaskan persiapan peperiksaannya.
Difahamkan, setakat ini lima beradik terbabit masih beragama Islam tetapi dikhuatiri menukar agama jika waris atau penjaga mengarahkan mereka berbuat demikian kerana hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terletak di tangan waris.


PETALING JAYA: Pertubuhan Baitul Fiq (Baitul Fiqh) boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk menuntut hak penjagaan anak berkenaan.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Ralip, berkata daripada perspektif undang-undang syariah di Malaysia, hak kepada anak dan isu penjagaan adalah dua perkara berbeza.
“Meskipun anak itu masih di bawah hak ibu bapa mereka, jika timbul isu membabitkan hak penjagaan sebagaimana berlaku sekarang, ia boleh diketengahkan.
“Bapa anak berkenaan perlu tampil ke mahkamah. Jika dia tidak mampu memelihara anaknya, anak berkenaan perlu diserahkan pihak lebih wajar dan sepatutnya,” katanya.
Isa berkata bapa kepada kanak-kanak berkenaan sewajarnya berlapang dada serta yakin dengan jabatan dan institusi agama Islam mahupun rumah perlindungan seliaan orang Islam di negara ini yang mampu memberi perhatian serta menjaga anaknya.
“Kenapa perlu ada pertikaian mengenai baik atau tidak (jabatan agama dan rumah perlindungan seliaan Islam), yang penting adalah akidah anak itu perlu diselamatkan.
“Dalam hal ini, saya memuji tindakan pastor terbabit apabila cuba menghantar anak berkenaan kepada Baitul Fiqh. Ini kerana dia tahu sensitiviti agama dan hak jagaan anak berkenaan sepatutnya kepada orang Islam juga,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika dihubungi berkata, tindakan bapa berkenaan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang bukan beragama Islam adalah melakukan satu kesalahan. Apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.” Jelas jurucakap itu lagi, demikian juga jika timbul polemik berkaitan hak penjagaan anak terhadap mualaf jika diperintahkan memberi hak jagaan anak muslimnya kepada pasangannya yang bukan Islam.
Mengikut undang-undang syariah negara ini, mualaf berkenaan melakukan kesalahan tetapi pada masa sama, jika beliau ingkar perintah mahkamah, mualaf ini boleh disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah.

1 comment:

  1. Haa..tu la, serah lagi perkara/urusan kepada meraka yang tak beramanah, tunggu lah saat kehancuran..ni dah kira hancuss la ni, denda saja tak cukup bro, kena buat akta yang lebih tegas..atau sistem sedia ada tak berkesan atau tak memainkan peranan dengan lebih berkesan?

    ReplyDelete