IPOH, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merakamkan sokongan terhadap cadangan mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) agar menyegerakan Akta Murtad baru-baru ini.
“Kami yakin usaha untuk memelihara akidah umat Islam perlu kepada penegasan agar tindakan untuk memesongkan umat Islam terjebak kepada gejala murtad dapat diatasi,” ujar setiausahanya, Salman Saleh dalam surat yang diemelkan kepada Harussani, hari ini.
Menurutnya, Pemuda PAS negeri berharap cadangan tersebut dapat dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Perak dan mereka juga mencadangkan agar semua parti politik menyatakan sokongan secara terbuka demi memelihara akidah umat Islam.
Tambahnya, adalah menjadi harapan Pemuda PAS negeri juga untuk membincangkan dengan lebih lanjut lagi perkara tersebut dan berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Harussani dalam tempoh yang terdekat ini.
“Kami bersedia membincangkan isu yang semakin parah buat umat Islam ini dan berharap ianya dapat dijayakan dengan kadar segera,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment