Tuesday, June 14, 2011

MAIPP akan serah keputusan pemilihan masjid untuk perkenaan Agong


GEORGETOWN, 14 JUN – Keputusan pemilihan jawatankuasa masjid seluruh Pulau Pinang akan dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk diperkenankan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jawatankuasa Hal Ehwal Agama. Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Kassim berkata keputusan muktamad pemilihan jawatankuasa kariah tetap berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pemilihan jawatankuasa masjid seluruh negeri yang akan bermula pada 18 Jun ini dilaksanakan mengikut Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan kaedah 4 (1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (negeri Pulau Pinang ).

Menurutnya, tata cara yang baru diperkenalkan oleh MAIPP itu merupakan penambahbaikan tata cara peraturan yang sedia ada yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Apa yang membezakannya ialah mengikut amalan lama, MAIPP melantik individu atau kelompok tertentu tanpa melalui proses pemilihan oleh anak-anak kariah secara telus dan terbuka.

“Sekarang, tata cara baru ini, memberikan hak kepada anak-anak khariah untuk mencadangkan pentadbir masjid atau jawatankuasa masjid masing-masing kepada MAIPP untuk diperkenankan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Selepas tarikh akhir pencalonan ditutup pada 7 Jun lalu, 193 daripada 200 masjid telah menghantar senarai pencalonan masing-masing.

“Ini membuktikan bahawa majoriti besar kariah menerima pakai tata cara pemilihan yang diperkenalkan MAINPP ini. Malah terdapat masjid-masjid yang mengadakan kompromi di kalangan anak-anak kariah masing-masing untuk mengelakkan berlakunya pertandingan,” tambah beliau.

Menurut Abdul Malik, senarai penuh pencalonan dan mereka yang layak akan mula diedarkan ke masjid-masjid bermula semalam hingga akhir minggu ini.

“Yang lebih penting, pemilihan ini bertujuan memilih pentadbir masjid yang berwibawa tanpa mengambil kira fahaman politik mereka. Mereka yang terpilih perlu memikul tanggungjawab berat, iaitu mengimarahkan masjid demi kepentingan masyarakat Islam khususnya. Lebih utama tanggungjawab mereka kepada Allah SWT bagi meningkatkan syiar Islam di negeri ini,” ujarnya.

UMNO melalui lidah rasminya Utusan Malaysia telah melaporkan kononnya DAP terlibat dalam usaha mengadakan pemilihan jawatankuasa jawatankuasa masjid di Pulau Pinang. Beberapa pemimpin UMNO cuba memutarbelitkan fakta dengan mengaitkan DAP berhubung hal-ehwal Islam di negeri itu.

Abdul Malik menjelaskan bahawa sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan agama, sudah tentu MAIPP akan meneruskan amalan tradisi kerajaan BN sebelum ini, iaitu melantik jawatankuasa masjid untuk diterima sahaja oleh khariah.

“Saya cukup yakin, calon-calon yang menawarkan diri dalam tata cara pemilihan ini akan bertugas secara ikhlas untuk berbakti kepada umat Islam dan membantu mengimarahkan masjid masing-masing,” tambahnya.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan bahawa PAS Pulau Pinang akan membantu kerajaan negeri menggerakkan aktiviti penerangan kepada 200 masjid di negeri itu supaya anak khariah lebih memahami kaedah baru yang bertujuan menyelamatkan institusi masjid daripada kongkongan politik pihak tertentu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Dr Mujahid Yusof Rawa kesal dengan UMNO yang secara tidak bertanggungjawab menimbulkan berbagai provokasi yang menggugat proses kerajaan negeri untuk menyatukan umat Islam melalui pemilihan jawatankuasa masjid yang lebih telus.

“Kenapa UMNO cuba kaitkan perkara yang tidak relevan seperti mengatakan DAP campurtangan terhadap pemilihan Jawatankuasa sedangkan ia mengikut saluran betul mengikut kaedah Jawatankuasa qariah dan Pegawai Masjid Masjid Negeri Pindaan 2003. Semuanya melalui peruntukan yang ada dalam enakmen pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang Seksyen 104 (10)(b), “ katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata pendekatan yang dipakai oleh kerajaan BN sebelum ini telah mengakibatkan pentadbiran masjid tidak telus, banyak masjid tidak mengadakan mesyuarat agung, tiada laporan aktiviti dan kunci kira-kira serta tiada notis pemberitahuan kepada anak khariah tentang pemilihan jawatankuasa khariah baru. – Roketkini.com

2 comments:

  1. Syabas MAIPP... hancurkan sistem zalim yg ditaja oleh amno latnatullah

    ReplyDelete
  2. Pendengki-2 keamanan dan keadilan sentiasa memainkan peranan mereka .. sesungguhnya mereka tidak akan merasa puas selagi tahan tidak berada di dalam mulut mereka... iaitu mati..

    ReplyDelete