KUALA LUMPUR, 25 Jan — PAS mahu Umno mengingatkan rakan-rakannya bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN) supaya menghormati hak Muslim ekoran tindakan pemimpin membangkitkan isu bersalam calonnya Normala Sudirman, kata Setiausaha Agung Mustafa Ali.
“Sepatutnya pemimpin Umno perlu ingatkan kawan mereka yang bukan Islam supaya hormati hak orang Islam sebagaimana orang Islam hormati hak orang bukan Islam.
“Kita tidak cemuh orang bukan Islam khususnya Cina yang makan babi misalnya kerana itu hak mereka dan banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh diambil,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata Mustafa, keadaan itu berbeza sekali dalam Pakatan Rakyat apabila pemimpin DAP dan pemimpin bukan Islam dalam PKR cuba memahami dan mendekati Islam.
“Ia diperlihatkan dengan baik dalam isu bukan Islam memasuki masjid, membaca al-Quran dan memberi salam,” kata beliau merujuk kepada komen yang dibuat Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyentuh tindakan Normala tidak bersalam dengan kaum lelaki.
“PAS mengucapkan tahniah dan syabas kepada Normala Sudirman kerana tidak menggadaikan prinsip dan disiplin perjuangan untuk kepentingan politik sementara,” katanya sambil menambah Normala berjaya menonjolkan disiplin Islam di tengah-tengah masyarakat dengan penuh yakin walaupun mungkin kehilangan satu dua undi orang di sekeliling Dr Chua.
“Tak usah bimbang kerana masyarakat umum yang mengenali PAS memahami soal ini.
“Ia bukan perkara baru dalam PAS. Semua pemimpin muslimat PAS sama ada calon atau tidak calon berpendirian yang sama seperti Normala... sama ada Dr Mariah Mahmood (MP Kota Raja) atau Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (MP Titiwangsa) dan lain-lain wakil rakyat PAS pun berpendirian yang sama hatta (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) pun berpendirian yang sama,” kata Mustafa.
Katanya, Dr Chua menjadikan isu sebagai pendiriannya dan MCA kerana dua sebab.
“Yang pertama Dr Chua rasa pelik kerana sepanjang puluhan tahun bergaul dengan pemimpin Umno, sama ada pemimpin wanita atau isteri pemimpin Umno, dia tidak pernah melihat apa yang diperlihatkan oleh Normala.
“Ini bagi saya kegagalan Umno kerana tidak memahamkan perkara ini kepada pemimpin bukan Islam yang bersama mereka. Saya tidak fikir Wanita Umno tidak tahu dari segi hukumnya,” katanya.
Selain itu kata beliau, sikap Dr Chua sendiri yang tidak dapat membezakan mana yang
dianggap bermoral dan mana yang tidak.
“Sebab itu, berlakon filem seks pada orang lain tidak bermoral tetapi bagi dia dan partinya MCA tidak ada apa-apa. Sebab itu dia terus menang menjadi presiden MCA,” katanya.
Dalam pada itu, The Star memetik Dr Chua sebagai berkata, menjadi tugas beliau untuk menjelaskannya apabila orang ramai membangkitkan perkara tersebut ketika sesi bertemu pengundi.
Kata Dr Chua, bukan niat beliau untuk membangkitkan isu berkenaan atau untuk mempolitikan pilihan Normala.
“Kami hormati pilihan beliau dan begitu juga beliau harus memahami mengapa orang terkejut dengan tindakan beliau.
“Sebagai bukan Islam, kami tidak arif mengenai agama ini (Islam),” katanya.
Katanya beliau juga akan memberi penjelasan mengenai kenyataannya itu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi apabila bertemu dengan beliau.
Semalam, Muhyiddin, Timbalan Pengerusi BN, menggesa MCA supaya tidak mengeksploitasikan pendirian Normala yang tidak bersalam dengan lelaki.
Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri menegaskan, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana terdapat perkara lain yang perlu diutamakan dalam kempen pilihan raya kecil itu.
“Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, (mengenai) apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini,” katanya.
Dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insider kelmarin, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.
Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.
Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.
Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari ketiga hari ini. Pengundian diadakan Ahad ini.
The Malaysian Insider pagi tadi melaporkan, Perkasa menyokong desakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya presiden MCA agar memohon maaf kepada umat Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam wanita Islam - calon PAS dalam kempen pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang.
“(Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek diingatkan dalam kempen MCA menentang DAP agar berhati-hati apabila menyentuh hal atau perkara-perkara yang membabitkan Islam, apatah lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum Islam yang jelas,” kata Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali.
Katanya, menjadi tanda tanya kepada Perkasa sejak kebelakangan ini ada pihak yang kerap menyentuh sensitiviti orang Islam negara ini demi politik atau pun sengaja hendak menghina Islam.
“Apa pun alasannya, Perkasa beri amaran bahawa jangan sesekali mempolitikan Islam demi mendapatkan sokongan kaum bukan Islam kerana umat Islam dalam negara ini menerimanya sebagai satu penghinaan kepada kesucian Islam yang menjadi wajib kepada umat Islam menentang mereka,” kata beliau lagi.
Kata Syed Hassan, Perkasa akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini sekiranya penghinaan terhadap Islam terus berlaku.
Harussani menyifatkan tindakan Dr Chua, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini.
Justeru, Harussani menggesa Dr Chua supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.
No comments:
Post a Comment