Sunday, December 5, 2010

Perarakan protes air disekat polis, FRU lepaskan gas pemedih mata

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Polis menghalang perarakan sekitar 1,000 penyokong kumpulan protes air Selangor daripada meneruskan hasrat mereka menuju ke Istana Negara. Kumpulan itu yang meninggalkan kawasan Masjid Negara sekitar 1.50 tengah hari tadi, ditahan selepas bergerak sejauh 200m.
Ekoran tindakan polis itu kumpulan itu merempuh sekatan polis dan menyebabkan anggota FRU melepaskan gas pemedih mata.
The Malaysian Insider difahamkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dibenarkan menuju ke Istana Negara dengan menaiki kereta sendiri dan diiringi anggota polis.
Dalam pada itu anggota FRU terus melepaskan gas pemedih mata ke atas penyokong protes air berhampiran stesen kereta api lama dekat Masjid Negara. Sekurang-kurangnya 10 tembakan dilepaskan sehingga 2.05 petang tadi.
Pihak polis memberi kata dua kepada peserta perarakan agar bersurai secara aman dan jika tidak akan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.
Ketika kumpulan itu tidak berganjak dengan pendirian mereka, FRU terus melepaskan tembakan gas pemedih mata.
Sekitar pukul 2.30 petang, FRU terus melepaskan air pemedih mata, menyebabkan sebahagian besar peserta melarikan diri ke arah Masjid Negara.
Sementara itu, mesej menerusi Twitter oleh seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Selangor menyebut Khalid telah menyerahkan memorandum bersama 250,000 tandatangan kepada Istana Negara sekitar 2.30 petang.

Bagaimanapun menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, polis telah menghalang rombongan delegasi daripada merakamkan sesi penyerahan memorandum.

No comments:

Post a Comment