Thursday, December 9, 2010

Keputusan dakwa Khir Toyo bukan sandiwara, kata Najib

December 09, 2010
PUTRAJAYA, 9 Dis – Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan pembangkang kononnya tindakan mendakwa Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berhubung tuduhan rasuah adalah sandiwara Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk membersihkan imejnya menjelang pilihan raya umum akan datang.
Perdana Menteri (gambar) berkata BN dan Umno tidak pernah menjadikan kes itu sebagai satu “mainan” kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah meneliti kes berkenaan sebelum mendakwa bekas Menteri Besar Selangor itu.
“Ini satu perkara yang telah diteliti semasak-masaknya oleh SPRM, dan SPRM sebagai badan yang bebas, (telah) kemukakan (kes ini) kepada Pejabat Peguam Negara,” kata beliau dipetik Bernama.
“Pejabat Peguam Negara bagi pihak yang bebas juga (akan) menentukan sama ada (terdapat) kes atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani ikrar memerangi rasuah oleh masyarakat peniaga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Najib diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tindakan mendakwa Dr Mohd Khir hanya sebahagian daripada sandiwara Umno untuk membersihkan imej parti itu di mata rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment