KOTA BHARU - Bekas Penyelaras Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, beliau lebih berminat untuk menubuhkan parti baru dari menyertai mana-mana parti termasuk DAP atau Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Bagaimanapun katanya, isunya kini bukan terarah kepada parti baru yang ingin disertai, sebaliknya beliau lebih menekankan kepada dakwaan dan tuduhan yang dibuat oleh PKR terhadap dirinya.
“Ada orang tanya saya nak tubuh parti baru jika dipecat, saya kata kalau dipecat kemungkinan (tubuh parti baru) nama apa pun kita fikir, dulu ada parti UMNO baru, kita buat Keadilan baru pula, saya pun fikir benda-benda macam ini,” katanya pada sidang media di rumahnya di sini, semalam.
Pada masa sama Zaid juga hairan dengan tindakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melabelkan beliau sebagai agen UMNO dan pemusnah parti.
“Saya suarakan laporan mengenai kecacatan timbul pada pemilihan peringkat cabang parti. Apabila saya bersetuju untuk bertanding tiba-tiba hal peribadi saya serang. Saya perlu jawab untuk pertahankan diri.
“Saya tidak tahu apa yang dia takut, anda (wartawan) kena tanya dia, saya bukannya masyhur seperti di (Anwar) yang terkenal seluruh dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment