Thursday, November 11, 2010

DAP mahu UMNO nyata pendirian terhadap MCA


KUALA LUMPUR - DAP mahu UMNO nyata pendirian terhadap MCA meminta UMNO menyatakan pendirian mereka terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA yang didakwa sedang berusaha mendapatkan pegangan saham ke atas firma perjudian Tanjong PLC.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata, UMNO perlu bertindak sedemikian kerana parti itu bermati-matian menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan wang judi untuk memberi bantuan orang miskin.

Menurutnya, UMNO perlu memberi pendirian yang konsisten dalam isu judi walaupun terhadap parti komponen BN.

“Mereka begitu beria-ia membangkitkan isu di Pulau Pinang kononnya ada sumbangan daripada kelab lumba di Pulau Pinang bagi kepada kerajaan negeri.

“Kita bagi kepada orang miskin dan mereka kata ini wang haram dan kita tidak menghormati orang Islam dan sebagainya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Loke turut mempersoalkan rancangan badan pelaburan MCA, Huaren Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan firma perjudian ke atas syarikat perjudian ketiga terbesar di Malaysia itu selepas Berjaya Sports Toto dan Magnum.

“Pertama sekali, adakah benar mereka merancang untuk berbuat demikian? Jika betul, di mana autoriti moral MCA? Adakah MCA entiti perniagaan atau sebuah parti politik?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan MCA yang hanya berdiam diri dengan rancangan Kementerian Kewangan sebelum ini yang bercadang meluluskan lesen judi sukan di negara ini.

“Adakah kerana mereka menyokong rancangan itu kerana mereka juga ada perancangan untuk melabur dalam perniagaan perjudian?" katanya.

Menurutnya, terdapat konflik kepentingan apabila MCA diwakili oleh seorang Timbalan Menteri Kewangan yang keputusannya memberi impak kepada industri perjudian.

“MCA masih sebahagian daripada kerajaan. Meskipun mereka tidak berkuasa, tetapi mereka tetap sebahagian daripada kerajaan dan ini mungkin menyebabkan konflik kepentingan," katanya.

Loke berkata, sekiranya MCA meneruskan hasratnya terbabit dengan industri perjudian, DAP akan terus memanjangkan isu itu.

No comments:

Post a Comment