Tuesday, November 9, 2010

Pemilihan pusat PKR tetap diteruskan, kata SU Agung



November 09, 2010
PETALING JAYA, 9 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan pemilihan langsung yang berlangsung sekarang meskipun menerima kata dua dan dipertikaikan dua calon timbalan presiden ekoran dakwaan wujudnya manipulasi dan kecacatan dalam proses pengundian.
Ketika menyatakan pendirian tegas parti itu petang, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga menolak dakwaan Datuk Zaid Ibrahim bahawa proses pengundian pemilihan pusat telah dimanipulasi.
“Adakah ini akan memberi kesan ke atas proses (pemilihan)? Tidak, kami menerima sokongan kuat daripada akar umbi,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.
Proses pengundian yang bermula dua minggu lalu akan berakhir 21 November ini.
Saifuddin (gambar) juga menegaskan bahawa daripada 87 bahagian yang telah selesai mengadakan pengundian, Zaid menang di 38 cabang manakala Azmin Ali pula di 37 cabang.
Dalam pada itu seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, yang memberikan kata dua kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pagi tadi, menang di 11 cabang.
“Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun,” kata Saifuddin.

No comments:

Post a Comment