Wednesday, November 24, 2010

Bangunan Parlimen kekal di KL, tapi diubahsuai RM485 juta

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Menara Parlimen berusia 47 tahun akan kekal di ibu negara tetapi akan melalui pengubahsuaian yang menelan RM485 juta – melibatkan pembinaan sayap baru dan bangunan tambahan enam tingkat bagi tujuan pentadbiran ahli-ahli Parlimen.
Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu The Malaysian Insider bahawa kerja-kerja itu akan dimulakan pertengahan tahun depan.
Rancangan itu kini menunggu kelulusan Kabinet.
“Saya telah bercakap dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya dan mereka telah diminta disediakan satu kertas kerja untuk dikemukakan kepada Kabinet waktu terdekat,” kata beliau ketika ditemui di Parlimen.
Nazri berkata beliau ada menerima maklum balas daripada ahli-ahli Parlimen  daripada kesemua parti mengenai langkah menambah sayap dewan dan bangunan tetapi sebulat suara tidak bersetuju Parlimen dipindahkan ke tempat lain.
“Kesemua ahli Parlimen mengatakan bahawa Parlimen harus kekal di sini dan itu adalah asas kertas kerja JKR yang akan dibawa ke Kabinet,” katanya.
Menurut Nazri kerja-kerja pengubahsuaian akan mengambil masa tiga tahun.
Ia akan bermula dengan pembinaan sayap baru dewan di gelanggang badminton pada kos RM55 juta.
Sayap dewan itu akan menempatkan Dewan Rakyat dan Senat buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pengubahsuaian selesai.
Bangunan enam tingkat pula akan menelan kos RM300 juta.
Sebaik sahaja kedua-dua premis itu selesai, kata Nazri, sidang Parlimen akan dipindahkan ke sayap baru itu sementara kerja-kerja mengubahsuai Parlimen akan dimulakan.
“Ia akan memakan masa 18 bulan lagi dan akan menelan kos RM130 juta,” katanya.
Dalam pada iti, kejadian bocor yang berlaku di kafeteria Ahli Parlimen, yang terletak bersebelahan Dewan Rakyat, petang ini menyebabkan sebahagian daripada kafetaria itu terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja menyedut keluar air.
Punca sebenar kebocoran bumbung itu, yang berlaku kira-kira 2.50 petang, belum dikenal pasti, kata Nazri.
Beliau menjelaskan kebocoran bumbung kafeteria itu disebabkan Parlimen adalah bangunan lama dan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu dilakukan oleh JKR.
Kebocoran di bahagian bumbung kafeteria itu disedari kira-kira 20 minit selepas Dewan Rakyat berhenti rehat dan dikatakan ekoran hujan lebat mulai kira-kira 1 tengah hari tadi.
Antara kejadian bocor berlaku di Parlimen ialah pada 28 April 2005 akibat kesilapan teknikal penutup kabel elektrik pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Pada 7 Mei 2008, kejadian bumbung bocor berulang di Parlimen apabila air keluar dari saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Nazri berkata Parlimen tidak akan berpindah atas sebab kerosakan yang berlaku dan bersedia menerima cadangan daripada Ahli Parlimen untuk menyelesaikan masalah itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan pula meminta pengurusan Parlimen menyiasat kebocoran itu dan perlu segera membaikinya.

No comments:

Post a Comment