KUALA LUMPUR, 28 Okt: Kisah kehebatan perancangan strategi dan pengalaman Sultan Muhamad Al Fateh sehingga berjaya menawan kota Constantinople (Istanbul) kini telah dijadikan modul latihan oleh Akademi Syariah (AS), sebuah akademi latihan yang baru ditubuhkan. Hari ini, Akademi Syariah (AS) ini buat pertama kali diperkenalkan kepada umum di Pameran Pelancungan Islam Antarabangsa yang dirasmikan oleh Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Melalui pameran ini, AS memperkenalkan modul latihan mereka yang digarap berasaskan nilai-nilai dan ajaran yang digarap dari Al Quran, Sunnah serta pengalaman pejuang Islam yang awal termasuk kehebatan Muhamad Al Fateh ini. "Kalau pemikiran dan teknik latihan barat menonjolkan pemikiran luar kotak, kami memperkenalkan bagaimana pemikiran dan strategi yang diambil oleh Muhamad Al Fateh yang dianggap gila-gila sehingga berjaya menakluki kota Constantinople yang kebal itu," kata Ustaz Azlan Abdul Jalil, Ketua Perunding AS yang merangka modul latihan akademi ini. Menurut beliau, Nabi Muhamad saw pernah bersabda bahawa akan ada satu masa nanti umat Islam akan berjaya menawan kota Constantinople itu. Sejak itu, para sahabat, tabiin dan pejuang Islam berusaha untuk menawan kota itu bagi membuktikan kata-kata Rasulullah itu. "Sepanjang 10 abad umat Islam membuat kira-kira 30 percubaan untuk menakluk kota itu namun gagal sehinggalah selepas 800 tahun selepas kewafatan Baginda, Amir Muhamad yang kemudiannya di kenali sebagai Muhamad Al Fateh berjaya menawan kota ini dengan memimpin 250,000 tentera Islam. "Melalui sejarah inilah kami ke Turki mengkaji tokoh Islam ini dan kami bawa ke Malaysia dalam bentuk modul latihan. Kami percaya program latihan ini mampu menyelesaikan banyak masalah organisasi di Malaysia," kata Azlan yang ditemui di PWTC hari ini. Akademi Syariah adalah intitusi latihan yang ditubuhkan oleh Biztel, syarikat yang menguruskan rangkaian Hotel De Palma. Dua tahun lalu, De Palma diperkenalkan sebagai hotel yang mematuhi syariah atau Syariah Compliant. Kejayaan pelaksanaan pendekatan ini adalah melalui latihan kepada kekitangannya. Kini, Biztel bergerak ke depan lagi bagi menginstitusikan latihannya dengan penubuhan Akademi Syariah ini. Penasihat AS adalah Pengurus Besar rangkaian De Palma sendiri iaitu Datuk Ilyas manakala Pengurus Besar AS adalah salah seorang pengarah Biztel iaitu Haji Razwan Resat. (Gambar: Tiga tonggak utama Akademi Syariah dari kiri Azlan, Razwan dan Herryanto) Dua tonggak utama AS adalah Ustaz Azlan sendiri sebagai Ketua Perunding manakala Ustaz Harryanto Rizal bin Rokman adalah Pengurus Operasi dan Latihannya. Mereka telah menjadikan hotel De Palma Sepang yang terletak di Bandar Salak Tinggi sebagai pusat aktiviti mereka. Kumpulan 50 pelatih pertama akademi ini dijangka akan memasuki De Palma Sepang pertengahan November ini sebaik sahaja akademi ini dibuka nanti. "Kami jamin, latihan selama 3 hari 2 malam di akademi ini tidak membosankan bahkan peserta akan terasa santai sahaja kerana ia bukan dibuat secara teori semata tetapi juga praktikal di samping bantuan alat pandang dengar seumpama mereka berada di sebuah teater atau panggung wayang yang hebat," kata Haji Razwan kepada Harakahdaily. |
” Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan akan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap satu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil, hendaklah kamu berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengatahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan “ Al-Maidah:8
Thursday, October 28, 2010
Kehebatan Muhamad Al Fateh dijadikan modul latihan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment