Saturday, October 23, 2010

Isu fesyen: Ulama muda sertai Umno Jun lalu pertahan isteri Najib

October 23, 2010

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Ulama muda Fathul Bari Mat Jahya, yang menyertai Umno empat bulan lalu, mempertahankan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kontroversi Festival Busana Islam (IFF) yang didakwa pembangkang dan bekas mufti sebagai tersasar daripada konsep agama dan menghina Islam.
Fathul Bari (gambar) yang mewakili Umno Perlis berkata, pembangkang sengaja memperbesarkan isu itu dengan meletakkan kesalahan tersebut pada bahu Rosmah yang hanya bertindak sebagai penaung IFF.
“Sepatutnya bantahan itu ditujukan kepada penganjur sedangkan beliau (Rosmah) hanya penaung semata-mata,” kata beliau.
“Tanpa diteliti hal tersebut, mereka terus menyerang dan menghukum.
“Adakah ini sikap orang Islam yang mengakui membawa hukum Allah sedangkan jelas perbuatan seperti ini tersasar Islam yang mengajar ketika menasihati seseorang,” kata beliau yang membahaskan usul agama dan pendidikan Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.
Jelas Fathul Bhari, manusia sentiasa dituntut meneliti terlebih dahulu sesuatu kesilapan yang dilakukan sama ada ia disengajakan ataupun tidak.
“Perbuatan ini tersasar. Islam mengajar etika menasihati, (jadi) mengapa tidak menarik tangan (Rosmah) sendirian, tanya apa yang berlaku, adakah beliau tahu majlis ini.
“Jangan sama sekali dinasihati secara terang-terangan,  bukan dengan caci, kutuk dan keji. Islam meletak etika dan adab dalam membetulkan (yang salah),” katanya.
Semalam bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pemuda PAS menggesa umat Islam yang terlibat dalam penganjuran IFF di Monte Carlo Ogos lalu, termasuk Rosmah yang dipertikaikan Pakatan Rakyat dan NGO Islam, agar memohon maaf kepada umum.
Asri juga meminta agar mengisytiharkan program itu yang didakwa menghina Islam sebenarnya bukanlah ‘Islamik’.
Sehubungan itu beliau menegaskan, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama terlibat dengan hal-hal yang seperti itu.
Pemuda PAS pula mendakwa IFF yang dianjurkan itu sama tarafnya dengan festival fesyen di barat, bahkan mungkin lebih teruk lagi.
Dengan wanita-wanita yang berpakaian seksi sudah tentu imej Malaysia tercalar, kata sayap muda PAS itu dalam kenyataan berasingan.
Pemuda PAS dan beberapa NGO mengadakan demonstrasi di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Melaka.
Fathul Bhari menyertai Umno bersama 40 ulama muda Jun lalu. Asri juga disebut-sebut menyertai Umno bersama Fathul Bhari tetapi mengesahkan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa sekarang.
Dalam perbahasan hari ini, Fathul Bhari juga mencadangkan supaya Majlis Ulama Umno diwujudkan sebagai langkah untuk melaraskan isu-isu dan setiap fatwa yang dibangkitkan.
“Majlis Ulama Umno ini dapat selaraskan isu yang dibangkitkan pembangkang, kita juga tidak mahu wujud ketidaksamaan.
“Ada kata boleh dan ada kata tidak boleh.
“Saya juga mahu ulama dalam Majlis Ulama Umno ini dijadikan sebagai wakil parti di setiap bahagian Umno,” kata beliau sambil menambah, kelak pada setiap tahun ulama dari 190 bahagian boleh berkumpul untuk mengikuti perhimpunan agung Umno.
Dalam pada itu, Ketua Umno Bukit Gantang Datuk Rosli Husin berkata pihak berkuasa agama perlu mengelakkan “sindrom bisu” apabila berhadapan dengan isu-isu melibatkan agama Islam khususnya yang ditimbulkan oleh parti-parti politik kerana ia boleh menimbulkan perpecahan umat selain menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam.
Kata beliau, Majlis Agama Islam di negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu agresif dengan sepakat dan senada bagi membuat penjelasan segera berkaitan soal hukum dan fatwa agar difahami umum.
“Teguran-teguran dan nasihat lebih banyak datang dari pentas politik daripada majlis fatwa atau Jakim seperti isu tazkirah oleh Adun wanita bukan Islam dari DAP, isu duit sumbangan dari wang judi lumba kuda kepada umat Islam di Pulau Pinang, isu khatib mendoakan kesejahteraan kepada Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan banyak lagi.
“Walaupun soal hal ehwal agama Islam adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, tidak bermakna keseragaman tidak boleh dicapai.
“Fenomena ini boleh menjejaskan kedaulatan dan kesucian Islam itu sendiri, malah persepsi negatif pasti akan tercetus daripada pandangan bukan Islam,” kata beliau dipetik Bernama.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul agama dan pendidikan.
Rosli juga mencadangkan supaya Jakim dinaiktaraf kepada sebuah kementerian penuh agar pemerkasaannya dapat membantu memperkemaskan dan menyelaraskan segala urusan yang berkaitan Islam di negara ini.
“Tindakan drastik tentunya dapat dibuat tanpa menunggu keputusan peringkat negeri terutamanya berkaitan dengan akidah, ajaran sesat, kes-kes tukar agama, kes pembuangan bayi, kes anak serta hamil luar nikah dan sebagainya.
“Ini juga dapat mengelakkan daripada pandangan yang berbeza dan bercanggah tentang sesuatu isu yang berbangkit yang akhirnya kita akan dapati kesucian dan kedaulatan Islam itu dapat diurus tadbir dengan berkesan dan menjadi rujukan mudah masyarakat Islam,” katanya.
Sumber - themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment