Saturday, September 11, 2010

Mayat bayi ditemui dalam sungai di Taiping

2010/09/11 IPOH: Kemeriahan menyambut Aidilfitri di Kampung Jambu, Taiping tergugat dengan penemuan mayat bayi yang hampir reput di sebatang sungai di kampung itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, mayat bayi yang belum diketahui jantina itu ditemui orang awam pada jam 10 pagi.

"Siasatan awal polis mendapati mayat bayi itu dibuang ke dalam sungai berkenaan sejak tiga hari lalu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan pihaknya kini giat mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

"Kami juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping menerusi talian 05-8291222 05-8291222 untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian lain seorang remaja terbunuh selepas kereta yang dipandunya merempuh sebatang pokok di kiri jalan di Jalan Leong Boon Swee di sini, awal pagi ini.

Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, Mohamad Ikmal Mohd Kamal mengalami cederah parah di kepala dalam kejadian jam 3.10 pagi dan mati di tempat kejadian.

"Ketika kejadian Mohd Ikmal yang memandu bersendirian dari arah bulatan Medan Kidd menghala ke Jalan Leong Boon Swee dipercayai gagal mengawal kereta yang dipandunya sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di kiri jalan," katanya.
-Bernama

No comments:

Post a Comment