Friday, August 6, 2010

Umno-BN Benarkan Syarikat Kroni Naikkan Tarif Air Di Selangor

SHAH ALAM 5 Ogos – Umno-Barisan Nasional menjadi penyebab kepada tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mahu menaikkan tarif air di negeri itu sehingga 37 peratus tahun lalu akibat perjanjian konsesi yang tidak pro-rakyat oleh mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo ketika menerajui kerajaan negeri.

Demi menjaga kepentingan syarikat kroni Umno-BN , rakyat Selangor kini berdepan dengan kenaikan tarif air sehingga tahun 2021.

Di bawah perjanjian konsesi air yang ditandatangani antara Dr Khir dan Syabas, syarikat itu dibenarkan menaikkan tarif sehingga 37% pada 2009, 25% pada 2012, 20% pada 2015, 10% pada 2018 dan 5% pada 2021.

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Faekah Husin berkata perjanjian konsesi tersebut jelas menunjukkan Kerajaan Pusat bukan sahaja gagal untuk membantu rakyat Selangor mendapatkan bekalan air pada kadar yang murah malah mengelak mengambil tindakan terhadap Dr Khir yang telah memberi konsesi secara cuai kepada syarikat kroni.

"Dr Khir sepatutnya merasa malu untuk bercakap soal kepentingan rakyat Selangor dalam apa-apa topik sekalipun, baik air mahupun pasir kerana kecuaiannya telah menghalang hak rakyat negeri Selangor daripada mendapatkan pekhidmatan air yang terbaik,” kata beliau dalam satu kenyataan media Selasa lalu.

Tambah Faekah, akibatnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat hari ini terpaksa berdepan dengan syarikat konsesi yang tamak dan berani menuntut jumlah yang melampau sekiranya kerajaan negeri mahu mengambilalih pengurusan air Selangor bagi bertujuan memberi perkhidmatan air yang baik pada harga berpatutan kepada rakyat.

Jelas beliau Kerajaan Persekutuan harus menerima hakikat isu tarif air di Selangor bermula apabila Syabas dibenarkan menaikkan tarif air tanpa mengambil kira beban tanggungan rakyat yang masih dibelenggu keperitan akibat kemelut ekonomi global.

“Rakyat Selangor berhak untuk mengetahui cerita sebenar dan bagaimana Dr Khir seharusnya dihalang dari segi moral untuk memberi pandangan terutama dalam hal tatacara mentadbir negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri menggesa agar mendeklasifikasikan dokumen perjanjian air dan segala laporan audit yang berkaitan agar rakyat tahu perkara yang sebenar.

"Kerajaan Persekutuan harus melihat perkara ini dengan serius apabila membincangkannya di dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini,” katanya.

Menurut Faekah, kerajaan negeri juga langsung tidak gentar dengan ugutan saman mahkamah RM1 bilion yang digertak oleh Syabas walaupun mereka mendapat sokongan Kerajaan Pusat.

Sebaliknya jelas Faekah, kerajaan negeri sentiasa membuka pilihan untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Syabas di atas kegagalannya memenuhi perjanjian konsesi dengan penuh tanggungjawab yang telah mengakibatkan kerugian tidak kurang daripada RM8 bilion.

"Kerajaan negeri akan terus mengambil langkah-langkah wajar untuk memberi kefahaman kepada rakyat Selangor bagaimana kerajaan terdahulu telah menganiaya rakyat melalui pemberian konsesi kepada syarikat kroni ini.

"Kita yakin rakyat Selangor menyokong penuh usaha kerajaan negeri mempertahankan hak air ini dan sentiasa mendoakan kejayaan kita,” jelas Faekah lagi.

Sehubungan itu tegas Faekah, kerajaan negeri sentiasa merai pandangan pelbagai pihak berkaitan pentadbiran dan dasar-dasar termasuk dasar pemberian diskaun, insentif dan sebagainya.

Beliau menambah apa yang penting bagi kerajaan ialah akhirnya rakyat Selangor yang layak dapat menikmati hasil daripada dasar dan ketetapan tersebut.

Perkara ini kata beliau tidak terkecuali di dalam mencari jalan terbaik mengenai isu air di negeri itu.
Sumber - Suara Keadilan Online

No comments:

Post a Comment