Monday, August 23, 2010

Syariat Islam bukan hukuman semata-mata

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, Islam tidak berhenti di atas hukuman semata-mata, malah hukuman Islam sebahagiannya jauh lebih ringan berbanding hukuman ciptaan manusia yang ada pada hari ini.

Tambahnya, hukuman berat dan keras tidak menjamin sesuatu hukuman itu berkesan seperti hukuman mandatori gantung sampai mati ke atas pengedar dadah, biarpun hukuman itu keras dan berat namun realitinya pengedaran dadah semakin berleluasa.

Justeri, beliau berharap semua pihak tidak prejudis terhadap perlaksanaan syariat Islam termasuklah Umno dan BN sendiri selaku pemerintah pada hari ini.

“Islamlah satu-satu penyelesaian yang terbaik untuk konflik dan kemelut yang dihadapi oleh manusia kerana syariat Islam itu datang terus dari Allah, Tuhan yang mencipta manusia,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa mahu menolak syariat Islam sedang masyarakat dan negara belum menyaksikan bagaimana syariat Islam beroperasi membetulkan segala sistem nilai dan maruah bangsa yang tercalar teruk pada hari ini.

Katanya, sangat tidak adil jika Islam ditolak sementah itu sedang peluang ia membuktikan kemampuan dan keupayaan menyelesaikan barah sosial negara belum diberikan.

“Sementara undang-undang atau peraturan yang ada pada hari ini gagal merawat dan mengubati penyakit masyarakat yang melanda teruk hari ini kenapa tidak kita menerima perlaksanaan syariat Islam,” katanya.

Jelasnya, syariat Islam bukanlah sekadar hukuman semata-mata tetapi penyelesaian bestari dan hikmah.

“Di sinilah DPPP melihat Islam perlu diberi peluang justeru Islam mempunyai pakej penyelesaian yang cukup baik. Bermula dari pendidikan atau pentarbiyahan, pembinaan atau pembentukan minda dan peribadi, pencegahan atau kawalan, pemantauan, alternatif dan hukuman setimpal,” katanya.

“Jelas ianya tidak berkesan. Lantaran hukuman itu tidak mempunyai pakej sebagaimana syariat Islam,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment