Sunday, August 22, 2010

Saya doakan Guan Eng diberi hidayah peluk Islam

TAIPING – Penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disebut dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid sekitar Pulau Pinang bukan perkara baru.

Perkara itu disahkan khatib, Zakaria Ahmad yang mengakui bukan pertama kali beliau membaca doa tersebut tetapi ianya dilakukan sejak dua tahun yang lalu.

Menurutnya, doa yang disebut hanya menjuruskan supaya Allah memberikan hidayah kepada Guan Eng agar memeluk Islam.

“Tiada sebarang motif dalam khutbah berkenaan. Ramai yang salah faham terhadap isu ini dan mempolitikkannya sehingga menjadi berita hangat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, isu berkenaan tidak patut dipolitikkan dan menyifatkan kontroversi yang timbul sebagai mainan politik semata-mata.

"Saya terbuka dan bersedia menjawab serta menjelaskan perkara sebenar di sebalik isu hangat itu. Bagi meredakan keadaan ini, penjelasan di atas diharap dapat menerangkan perkara sebenar mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Dakwaan mungkin berunsur fitnah
ALOR SETAR - Bekas Imam Besar Masjid Negara, Taib Azamudden Md Taib tidak menolak kemungkinan dakwaan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin digantikan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di negeri itu adalah berunsurkan fitnah.

Katanya, beliau bimbang perkara itu adalah mainan fitnah UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana percaya khatib masjid di Pulau Pinang tidak jahil dan tunduk kepada tekanan ‘pihak tertentu’.

“Sewaktu saya berkhidmat sebagai imam besar dahulu, kejadian sebegini tidak pernah berlaku kerana pegawai, imam dan khatib masjid tahu akan tanggungjawab masing-masing di samping tidak mencampur aduk urusan agama dengan politik.

“Sekiranya kita hendak berdoa untuk kesejahteraan pemimpin negeri atau negara, pemimpin itu haruslah seorang beragama Islam kerana hukum mendoakan orang bukan Islam adalah haram, kecuali sekiranya bertujuan memohon Allah SWT memberi hidayah kepada individu itu,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam.

Taib Azamudden yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah berkata, sekiranya dakwaan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu benar, beliau menyifatkan tindakan itu tidak wajar kerana mana-mana khatib terlibat sudah jelas cuba menghina institusi masjid yang diketuai oleh ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) perlu diberikan ruang untuk membuat siasatan secara menyeluruh ke atas perkara itu bagi membolehkan perkara sebenar diketahui.

“Sekiranya perkara itu benar terjadi, tindakan segera perlu diambil ke atas mereka yang terlibat, termasuk jawatankuasa kariah masjid berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment