Tuesday, July 27, 2010

Krisis air: Tuduhan Muhyiddin ‘politik jahat’, kata Azmin Ali

SHAH ALAM, 12 Julai – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Selangor akan berhadapan dengan krisis air merupakan tuduhan bermotifkan “politik jahat” untuk menghukum rakyat negeri itu, kata pemimpin Pakatan Rakyat Azmin Ali.

“Tuduhan tersebut adalah jahat dan saya percaya ia bermotifkan politik untuk menghukum rakyat dan pada masa sama meneruskan agenda untuk memunggah kekayaan dan khazanah negara untuk kroni-kroni mereka.

“Walaupun kerajaan negeri memperuntukkan RM120 juta setahun untuk Program Air Percuma, kerajaan negeri masih berupaya mengurus bajet berimbang.

“Ini kerana pendekatan yang diambil Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) adalah untuk mempertahankan hak rakyat bukan seperti pemimpin Umno yang mempertahankan kroni-kroni mereka,” kata beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) petang ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Selangor ini berkata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno bertanggunggjawab untuk menjawab persoalan rakyat mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Sebelum Mac 2008 kerajaan Umno-BN di peringkat Pusat dan Negeri telah bersetuju menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas dan membenarkan tarif air melonjak naik kepada 37 peratus dalam 2008 dan tambahan 25 peratus pada tahun 2011 serta 15 peratus untuk 2014 dan 10 peratus untuk setiap tiga tahun berikutnya.

“Perjanjian ini membebankan rakyat dan memberikan keuntungan melampau kepada kroni Umno-BN.

“Kepimpinan Muhyiddin selaku Menteri Besar Johor pada satu ketika dahulu telah meninggalkan padah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Johor dengan kadar tarif air yang tertinggi di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Muhyiddin yang mengingatkan kerajaan Selangor supaya segera menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi memastikan kedua-dua negeri tidak berdepan dengan krisis air terburuk menjelang 2012.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat telah beberapa kali membuat rundingan dengan kerajaan Selangor mengenai isu berkenaan termasuk mengenai pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor yang masih tidak dipersetujui kerajaan negeri.

“Untuk jangka panjang, kita dah setuju nak bawa air dari Pahang ke Selangor dan Wilayah Persekutuan. Jika tidak dibuat dalam tempoh itu, kalau tak silap saya (akan) jadi masalah genting. Itu tidak dipersetujui kerajaan Selangor.

“Mana-mana laluan paip nak masuk, (kerajaan Selangor) dah bagi arahan kepada pihak majlis perbandaran dan pejabat tanah (supaya) jangan layan. Ini projek (kerajaan) persekutuan. Kalau tak layan apa jadi?” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata kenyataan Muhyiddin tersebut adalah untuk menolong krori-kroninya daripada mempertahankan kehendak rakyat.

“Rakyat Selangor melalui Pakatan Rakyat mahukan industri air dibuat semula supaya ia dapat dijalankan semula oleh kerajaan negeri.

“Kita tahu penswastaan yang dibuat kerajaan termasuk di Selangor dan Wilayah Persekutuan melalui Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syabas tidak menghasilkan satu pengurusan terbaik untuk Selangor.

“Malah Syabas didapati tidak mempunyai pengurusan kumpulan wang yang baik sehingga 2009 apabila kerajaan persekutuan memberikan pinjaman RM320.8 juta kepada Syabas. Ini adalah satu contoh untuk mereka lindungi kroni yang berada dalam kesusahan,” katanya ketika sidang media di sini.

Beliau berkata daripada serahkan dana tersebut kepada Syabas adalah lebih baik jika ia diserahkan kepada Kerajaan Negeri supaya dapat diuruskan konsesi air tersebut dengan cara terbaik.

“Kita tahu mengapa Muhyiddin bangkitkan perkara ini adalah untuk melindungi Ketua Eksekutuf Puncak Niaga Tan Sr Rozali Ismail.

“Bagi Muhyiddin lebih baik menjaga hati kroni-kroni daripada memberikan peluang untuk rakyat dapat air yang lebih murah dan cekap diurus,” katanya.

Adun Ijok itu berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan bekalan air Selangor mencukupi.

“Kita berpendapat banyak lagi cara yang boleh meningkatkan jumlah air yang ada termasuk melalui satu usaha penggalian air dan juga air-air dari sungai yang masih belum diusahakan dengan sebaik mungkin.

“Kerajaan negeri juga tidak menghalang Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor,” katanya.
Sumber : http://azminali.com/?p=364

No comments:

Post a Comment