Sunday, November 29, 2009

Pembangunan Tidak Terancang dan Tidak Sempurna Punca Banjir

Pembangunan Tidak Terancang dan Tidak Sempurna Punca Banjir


Sunday, 29 November 2009 09:30 Editor

KUALA TERENGGANU – Banjir merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun di negeri ini, yang menerima kadar hujan lebih banyak pada musim tengkujuh.
Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, namun ada nyawa yang turut terkorban, pada setiap kali ia berlaku.
Walaupun ia dianggap sebagai bencana alam, tinjauan Buletinonline mendapati, rata-rata rakyat berpendapat ia boleh dikawal sekiranya pembangunan yang dilakukan secara terancang, terkawal dan sempurna.

(Gambar - banjir di jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, pembahagi jalan terpaksa di korek bagi memberikan laluan air, contoh pembangunan yang tidak sempurna)

Wakil Rakyat Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar percaya, sekiranya perparitan sempurna dan ‘longkang tengkujuh’ (Monsoon Drain) dibina dan di selenggara dengan baik, banjir di kawasan bandar dapat diatasi.

Menurutnya, longkang-longkang sedia ada adalah longkang yang sudah lama, di
tambah dengan kurangnya penyelenggaran menyebabkan sampah sarap tersumbat.
”Apabila hujan lebat turun, air melimpah dan membanjiri kawasan-kawasan rendah,”katanya ketika dihubungi.

Seorang ibu yang baru selesai mengadakan majlis kenduri kahwin dua anaknya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan banjir melanda kawasan rumahnya, baru-baru ini.

Maria Muda, 52, dari Bandar Dungun menyifatkan, banjir pada tahun ini adalah yang terburuk kerana ia tidak pernah berlaku dikawasan rumahnya sejak lebih 20 tahun lalu.

Beliau yang juga kakitangan kerajaan di Hospital Kemaman berkata, walaupun daerah ini pernah dilanda banjir besar sebelum ini, namun kawasan rumahnya terselamat.

Bagaimanapun katanya, sejak pembinaan laluan pejalan kaki di bahu jalan, rumahnya turut mengalami banjir teruk.

“Habis perkakas rumah termasuk perabot dan peralatan elektrik ditenggelami air. Peralatan kenduri kahwin juga turut musnah.

“Kejadian ini pertama kali berlaku dan ia dipercayai berpunca daripada air hujan bertakung disebabkan tiada saluran keluar susulan projek pembinaan laluan pejalan kaki di bahu jalan, kedua-dua arah,” jelasnya.

Sementara itu, Shafie Ibrahim, 50, seorang daripada 45 mangsa banjir dari Taman Ros berkata, pihak berkenaan sepatutnya membuat perancangan teliti sebelum menjalankan sesuatu projek, walaupun dari segi fizikalnya, ia nampak cantik.

“Projek pembinaan laluan pejalan kaki hanya elok mata memandang, namun apabila hujan lebat, kami rakyat yang terpaksa menanggung derita,” katanya

Manakala di daerah Hulu Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nasi Dingin, Yusuff Taib berkata, banjir gelombang kedua melanda Terengganu beberapa hari lalu adalah kerana limpahan air sungai dan juga air hujan yang bertakung.

Katanya, ia bukan sahaja menyebabkan puluhan kampung di daerah Hulu Terengganu dinaiki air tetapi lebih 10 keluarga, di kampungnya terpaksa menghadapi kejadian banjir kilat.

Katanya, longkang sedia ada di kawasan terlibat bukannya daripada konkrit sebaliknya hanya parit dan sekali gus ‘memudahkan’ air melimpah sekiranya hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Tambah mengecewakan, kejadian seumpama itu bukanlah pertama kali dihadapi mereka sebaliknya sudah bertahun lamanya berpunca daripada sistem perparitan tidak sistematik dan malangnya ia masih belum berakhir kerana tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, parit berkenaan juga tersumbat dan dipenuhi pasir atau tanah sehingga mengakibatkan air tidak dapat mengalir lancar.

“Akibatnya, limpahan berlaku sehingga mengundang kejadian banjir kilat kepada penduduk.

“Masalah berkenaan sudah berada dalam perhatian serta pengetahuan pihak berkaitan dan pihak JKKK juga sentiasa membuat susulan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya projek pembinaan longkang konkrit dapat dibina secepat mungkin sebagai cara bagi mengatasi kejadian banjir kilat.

Di Marang, Tuan Sulaiman Tuan Senik, 40, yang berasal dari Kampung Kubu, berkata kerajaan mestilah merancang dengan teliti pembangunan yang dilaksanakan bagi mengelakkan banjir terus berlaku.

Katanya, pembangunan yang pesat adalah baik untuk pertumbuhan ekonomi, namun sekiranya dilaksanakan tanpa perancangan menyebabkan perlaksanaannya tidak sempurna.

Menurutnya, walaupun berlaku banjir sebelum ini dikampungnya, ia tidak seburuk sebagaimana terjadi pada tahun ini.

”Pembangunan tanah, samada membangun ladang atau kebun, serta membina kawasan penempatan mestilah dirancang,

”begitu juga dibandar-bandar, mestilah pembangunan kemudahan asas seperti jalan dan longkang mesti di bina,”ujarnya.

Katanya, banjir yang berlaku juga boleh dikawal sekiranya semua sungai dan anak-anak sungai di selenggara mengikut keperluan semasa, bagi menampung aliran air mengelakkan limpahan.

No comments:

Post a Comment