Monday, November 30, 2009

Peguam saman bandar Jeddah

DUBAI 29 Nov. - Seorang peguam Arab Saudi mahu menyaman bandar Jeddah selepas beribu-ribu orang mengecam pihak berkuasa negara itu dalam Facebook berhubung kejadian banjir, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 100 nyawa di pelabuhan Laut Merah.
Televisyen kerajaan Arab Saudi lewat malam tadi melaporkan, angka kematian akibat banjir yang melanda bandar pelabuhan Jeddah pada minggu ini meningkat kepada 103 orang selepas lebih banyak mayat dijumpai.

Peguam hak asasi kemanusiaan, Walid Abu al-Kheir berkata, keluarga mangsa banjir menyokong tuntutan mahkamah itu yang menyalahkan pihak berkuasa Jeddah kerana penyelewengan dalam mengendalikan kerja-kerja pembinaan di bandar ini telah mengakibatkan berlaku banjir.

"Mereka tidak membina saliran yang sempurna. Mereka memberitahu kami selama tiga tahun atau lebih bahawa ia telah disiapkan.

"Orang daripada kerajaan tempatan itu sendiri memberitahu kami bahawa ada berlaku kesilapan,'' katanya.

Walid berkata, dia merancang untuk mengemukakan saman itu Sabtu minggu depan apabila pejabat kerajaan dan mahkamah dibuka semula selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

Hujan lebat mengakibatkan banjir kilat itu yang menyaksikan ramai mangsa terperangkap di dalam kereta dan lemas selepas tenggelam sedalam dua meter atau lebih.

Jalan-jalan raya rosak teruk, sementara kereta dan trak dilihat tersadai di merata-rata tempat selepas paras air surut pada Khamis lalu.

Bekalan elektrik masih belum pulih di sebahagian kawasan yang terjejas teruk di bandar Jeddah, yang juga bandar kedua terbesar selepas Riyadh.

Oleh kerana bantahan secara terbuka diharamkan di Arab Saudi, penduduknya memilih Internet untuk menyerang kerajaan. - AFP

No comments:

Post a Comment