Sunday, November 20, 2011

Malaysia, Indonesia berentap lagi

JAKARTA - Jaringan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-85 membawa skuad Harimau Muda ke perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA XXVI buat kali kedua berturut-turut apabila mengalahkan Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Jaringan berharga yang memastikan Malaysia berada pada landasan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos dua tahun lalu bermula dengan hantaran silang Izzaq Faris Ramlan, yang kemudiannya disudahi Ahmad Fakri menerusi rembatan yang menewaskan penjaga gol Myanmar, Thihasthu.
Malaysia akan berdepan kegilaan 100,000 penyokong tuan rumah sekali lagi pada perlawanan akhir esok selepas Indonesia menewaskan Vietnam 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir hasil jaringan dua Patrich Wanggai dan Titus Bonai.
Pada perlawanan akhir Isnin ini, Malaysia yang sudah kehilangan khidmat Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berkemungkinan terpaksa berjuang tanpa kelibat penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris yang terpaksa dikeluarkan pada minit terakhir perlawanan kerana kecederaan lutut.
Walaupun begitu, kem Malaysia mungkin sedikit lega kerana ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar yang memperoleh kad kuning pada perlawanan semalam masih boleh diturunkan kerana kad kuning yang dikutip semasa bertemu Indonesia tidak diambil kira kerana melibatkan saingan peringkat kumpulan.
Mengulas kemenangan semalam, jurulatih Ong Kim Swee berkata, pemain tidak beraksi dengan baik pada babak pertama disebabkan keletihan kerana hanya berehat sehari selepas perlawanan separuh akhir menentang Indonesia Khamis lalu, yang menyaksikan Malaysia menang 1-0.
"Namun, kami bangkit pada babak kedua dan meningkatkan asakan sehingga akhirnya dapat menjaringkan gol.
"Jaringan Ahmad Fakri memang amat bermakna, bukan sahaja disebabkan ia menjadi gol kemenangan kami, tetapi saya memang sudah menduga dia mampu meledak gol pada perlawanan hari ini.
"Ini kerana dia sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa dan dia pastinya mahu membuktikan sesuatu. Saya gembira kerana hari ini dia akhirnya membuktikan dia masih berbisa," kata Kim Swee pada sidang akhbar.
Selain gembira dengan kemenangan Malaysia, isu Kim Swee tidak dibenarkan menggunakan sebarang alat komunikasi untuk memberi arahan kepada pemain menerusi pembantunya, Hassan Sazali turut menghangatkan sidang akhbar semalam.
"Saya tidak dibenar menggunakan sebarang alat komunikasi untuk memberi arahan kepada pemain melalui Hassan.
''Akibatnya, saya terpaksa memberi arahan kepada Hassan dengan cara menulis arahan tersebut di atas kertas. Nota yang saya tulis itu diserahkan melalui tukang urut pasukan, Zaidi Latip kepada Hassan.
"Begitulah cara saya memberi arahan kepada pemain menerusi Hassan di sepanjang perlawanan," katanya.
Rasa marah Kim Swee semakin memuncak apabila selepas perlawanan, dia tidak dibenarkan berjumpa pemain di padang apabila langkahnya disekat oleh pengawal keselamatan bertugas.
"Saya mahukan jawapan mengapa saya diperlakukan sebegini rupa," katanya. - Utusan

2 comments:

  1. Kami khuatirkan perancangan strategi dan penyusunan yg bijak bagi pasukan Indonesia sejak SEA games bermula... Walaubagaimanapun kami mendoakan kejayaan pasukan harimau muda malaysia..

    ReplyDelete
  2. Masing-masing ada kekuatan tersendiri... Namun Harimau Muda Malaysia perlu ajar sang garuda bagaimana mahu menghormati lawan .

    ReplyDelete