Friday, November 18, 2011

Hudud: Kedah tunggu Kelantan laksana

ALOR SETAR, 17 Nov ― Kerajaan Kedah akan menunggu Kelantan melaksanakan undang-undang hudud terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, demikian Dewan Undangan Negeri Kedah diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Taulan Rasul berkata mereka mahu melihat kejayaan pelaksanaan undang-undang itu di Kelantan ia telah diluluskan di negeri itu.
“Kelantan dah luluskan Enakmen Jenayah Syariah dan menunggu kebenaran kerajaan pusat. Kerajaan pusat masih belum memberi kebenaran,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Sultan Kedah ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah dan Rang Undang-Undang Peruntukan 2012 oleh Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata undang-undang Islam adalah satu kewajipan terhadap umatnya dan perkara itu tidak sepatutnya dipermainkan oleh mana-mana pihak.
“Apa yang berlaku di Kelantan adalah masalah pelaksanaan. Kalau Kelantan boleh melaksanakannya, ia boleh berjalan dengan baik,” katanya dipetik Bernama Online.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan Datuk Amiruddin Hamzah berkata Kulim Hi-Tech Park masih mampu menarik pelaburan, walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa kawasan perindustrian baru terutama Senai Industrial Park.
Beliau berkata beberapa syarikat telah membesarkan operasi mereka dan menambah pelaburan di kawasan itu.
“Kadar penyewaan tanah di kawasan itu meningkat daripada 59 peratus tahun lepas kepada 88 peratus tahun ini. Ini menunjukkan Kulim Hi-Tech Park masih ada tarikan kepada pelabur,” katanya.
Amiruddin berkata bagi tempoh 2008 hingga 2011, dalam keadaan terpaksa bersaing hebat dengan kawasan industri lain, jumlah tanah yang dimasuki pelabur adalah 35.2 hektar berbanding 2004 hingga 2007 iaitu sebanyak 42.8 hektar.
“Dalam misi pelaburan, Kulim Hi-Tech Park berbelanja secara berhemah. Dakwaan satu misi perdagangan Kulim Hi-Tech Park sampai RM1 juta adalah tidak benar,” katanya.

No comments:

Post a Comment