
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau secara peribadi menyokong usaha kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia tidak melanggar hak-hak orang bukan Islam dan pentadbiran yang adil adalah dijamin. "Buat masa ini, secara umum, pada dasarnya, saya percaya ini boleh dilaksanakan. Dalam perkara tertentu, terdapat jaminan yang jelas mengenai pentadbiran yang adil. "Ia tidak dalam apa cara sekalipun mencabuli hak-hak orang bukan Islam," kata Anwar, ketika ditemui di kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Anwar menegaskan bahawa pandangan berkenaan dalah pandangan peribadi beliau dan Pakatan Rakyat belum membincangkan perkara itu. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabar PAS yang memerintah Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud. Perbalahan antara Mahathir dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung undang-undang hudud bermula pada bulan Jun lalu apabila bekas perdana menteri itu mempersalahkan DAP sebagai penghalang cita-cita PAS memperkenalkan undang-undang Islam.

No comments:
Post a Comment