Thursday, August 4, 2011

PAS dakwa wujud gerakan dalam Umno mahu guling Najib


















KUALA LUMPUR, 4 Ogos
— PAS mendakwa wujud gelombang besar dalam Umno sendiri yang mahu menggulingkan Datuk Seri Najib Razak ekoran kebimbangan bahawa Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi beban kepada Barisan Nasional (BN) dalam mengekalkan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun parti itu berkata Najib memang sedar tentang usaha sedemikian tetapi enggan meletakkan jawatan kerana bertegas mahu mengetuai BN menghadapi pilihan raya umum, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, itu sebabnya Umno sengaja mewujudkan khabar angin konon pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Mustafa berkata, pemimpin-pemimpin Umno bimbang skandal melibatkan Najib dan Rosmah seperti pembelian kapal selam dan kaitannya dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu, akan memberi kesan ke atas sentimen pengundi terhadap Barisan Nasional (BN).

Pemimpin-pemimpin pembangkang sudah pun mengaitkan Najib dan Rosmah dengan skandal itu, yang kini disiasat oleh pihak berkuasa Perancis selain keputusan kerajaan menghantar pulang peguam negara itu William Bourdon.

Menurut mereka tindakan itu mencetuskan lebih banyak keraguan dalam isu tersebut.

Rosmah juga baru-baru ini dikaitkan dengan isu pembelian cincin bernilai RM24 juta. Bagaimanapun beliau menyifatkan ia sebagai satu fitnah.

“Anda tidak boleh memisahkan Najib dan Rosmah,” kata Mustafa ketika menjawab soalan bahawa musuh Najib hanya tidak gembira dengan Rosmah, bukannya Perdana Menteri.

Mustafa menambah dakwaan beliau itu bukan bertujuan mengadakan “perang psikologi” ke atas Umno, sebaliknya menegaskan ia “perkara benar.”

“Najib sedar tetapi degil. Beliau sudah pun mengatakan tidak,” kata Mustafa.

Beberapa blog menulis bahawa Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) telah mengadakan mesyuarat beberapa hari lepas, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin iaitu bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga bekas setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia dikatakan dihadiri oleh bekas anggota jemaah menteri Datuk Mokhtar Hashim dan Tamrin Ghaffar iaitu bekas timbalan perdana menteri Tun Ghaffar Baba dan adik kepada timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penawar dikatakan telah mendesak Najib supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas alasan terlalu lemah dan tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah termasuk masalah negara.

No comments:

Post a Comment