Tuesday, May 24, 2011

Jeff Ooi Kantoi RM150,000 ?




PULAU PINANG 23 Mei – Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun (gambar) diperintah membayar ganti rugi RM150,000 kepada Mohd. Razali Abdullah atas kenyataan fitnah dan berniat jahat yang dilemparkannya terhadap bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas mendapati wujud unsur fitnah dalam perkataan yang diungkapkan Chuan Aun seperti yang terkandung dalam tuntutan saman oleh Mohd. Razali selaku plaintif.

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam memerintahkan Chuan Aun membayar ganti rugi am RM100,000 dan RM50,000 lagi bagi ganti rugi teruk serta faedah lapan peratus atas jumlah tersebut bermula dari tarikh penghakiman sehingga selesai bayaran.
‘‘Dalam pembelaannya, defendan mendakwa perkataan-perkataan yang dikeluarkannya terhadap Mohd. Razali bersifat ‘fair comment’ (komen berpatutan). Bagaimanapun apa yang mahkamah dapati hasil daripada keterangan saksi-saksi adalah sebaliknya.
‘‘Dua saksi bebas yang merupakan wartawan akhbar The Star dan Kwang Wah Jit Poh memberitahu mereka mendengar sendiri perkataan ‘mad man’ (lelaki gila) diucapkan defendan (Chuan Aun) terhadap plaintif semasa sidang akhbarnya di Pasar Batu Lanchang di sini.
‘‘Justeru, perkataan-perkataan fitnah yang digunakan oleh defendan telah berjaya dibuktikan,’’ katanya ketika membacakan keputusan itu kira-kira 10 minit bermula pukul 9.40 pagi ini.
Menurut Vazeer Alam, keterangan pegawai khas kepada Chuan Aun yang mendakwa tidak mendengar perkataan yang diucapkan majikannya itu tidak dapat diterima kerana saksi berkenaan berada di dalam mahkamah sepanjang perbicaraan dan telah mendengar semua keterangan saksi-saksi termasuk oleh dua wartawan berkenaan.
‘‘Macam mana keterangannya boleh diterima sedangkan dia juga ada hubungan dengan defendan dalam kes ini. Justeru dia bukanlah seorang saksi yang bebas,’’ kata Vazeer Alam.
Selain, ganti rugi berkenaan, pesuruhjaya kehakiman itu turut melarang Chuan Aun daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan selepas ini.
Beliau memerintahkan demikian selepas selesai mendengar hujahan peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor yang mewakili Mohd. Razali manakala Chuan Aun diwakili peguam Jagdeep Singh Deo.

Mohd. Razali yang merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Chuan Aun pada 1 Februari tahun lalu kerana mendakwa Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri itu membuat kenyataan sedemikian secara berulang dan disiarkan dalam surat khabar tempatan, laman web dan portal berita di Internet.
Menurutnya, perkataan yang dikeluarkan adalah tidak berasas dan difahamkan sebagai membawa makna seperti fitnah dan berniat jahat serta dinyatakan secara sindiran.
Kata Mohd. Razali, kenyataan yang dikeluarkan antara lain melabelkannya sebagai seorang pelampau agama, tidak berkemampuan bertindak secara profesional sebagai ahli MPPP walaupun mempunyai kelayakan profesional.

Mohd. Razali tidak hadir bagi mendengar keputusan itu kerana berada di Mesir atas urusan rasminya sebagai Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment