Sunday, March 13, 2011

Masalah baru di loji nuklear Fukushima, 160 terdedah radiasi

March 13, 2011
nggota operasi mencari dan menyelamat mendukung seorang kanak-kanak perempuan diselamatkan selepas tsunami di bandar raya Kesennuma, Miyagi semalam. - Foto Reuters
TOKYO, 13 Mac — Loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi yang semalam mengalami letupan di salah satu unitnya, kini berhadapan dengan masalah baru — satu lagi reaktor disahkan mengalami kerosakan pada sistem pendinginan kecemasan. Lebih 140,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sekitar loji itu manakala 160 disahkan alami kesan radiasi, lapor Reuters.
Kelmarin kawasan timur laut Jepun digegarkan dengan gempa bumi pada skala 8.9 dan disusuli dengan tsunami setinggi 10 meter.
Pada sidang media diadakan di sini, Agensi Nuklear dan Keselamatan Industri Jepun berkata, ekoran masalah itu reaktor terbabit memerlukan bekalan air dengan segera bagi mengelakkan implikasi lebih buruk.
Sementara itu, Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA) dalam satu kenyataan dikeluarkan di Vienna berkata, kira-kira 140,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sekitar loji tenaga nuklear setakat semalam.
“Kerja-kerja membawa keluar penduduk dari kawasan terbabit telah dimulakan,” kata IAEA semalam.
“Kerja-kerja pemindahan (orang ramai) belum selesai lagi,” katanya.
Pasukan keselamatan tenaga nuklear memeriksa kesan radiasi ke atas penduduk yang dibawa keluar dari kawasan berhampiran loji tenaga nuklear Fukushima Daini di Koriyama, Jepun awal hari ini. - Foto Reuters
Seramai 110,000 orang dipindah keluar dari kawasan lingkungan 20 kilometer sekitar loji Fukushima Daiichi manakala 30,000 lagi membabitkan mereka yang tinggal dalam kawasan lingkungan 30,000 kilometer. Satu lagi laporan Reuters pula menyebut hampir 160 orang dikenal pasti telah mengalami kesan radiasi ekoran masalah pada loji tenaga nuklear tersebut.
Semalam, kerajaan Jepun mengesahkan satu letupan di loji tenaga nuklear Fukushima Daini ekoran gempa bumi dan tsunami paling buruk dalam sejarah 140 tahun negara itu.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yukio Edano mengesahkan satu letupan dan kebocoran radiasi di loji tersebut semalam.
“Kami sedang melihat punca dan situasi dan kami akan memaklumkan kepada orang ramai apabila kami ada maklumat lanjut,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Tokyo Electric Power Co (Tepco) memulakan kerja-kerja mengeluarkan stim radioaktif daripada reaktor kedua, bermula pukul 7.30 pagi tadi (waktu Jepun).
Seorang pegawai dari badan pemantau keselmatan nuklear berkata pihaknya menerima laporan daripada pengeluar tenaga terbesar itu bahawa reaktor unit ketiga telah mengalami kerosakan sepenuhnya.
Jurucakap Tepco berkata jumlah radiasi yang akan dikeluarkan adalah kecil dan bukannya kadar yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai. — Reuters

1 comment: