Thursday, February 17, 2011

Tidak mustahil BN boleh jatuh, kata Mahathir - Apa baru tahu ke...?

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) agar tidak melupakan tanggungjawab kepada rakyat sekiranya tidak mahu tewas dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.
“Jangan lupa tanggungjawab kepada rakyat, kalau lupa mereka akan jatuhkan kerajaan, sebab itu saya cakap kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada keharmonian dan kepentingan rakyat.
“Kalau kerajaan lupa kepada rakyat, mereka akan jatuhkan kita,” kata beliau pengerusi BN ini.
Merujuk kepada amalan demokrasi negara, bekas perdana menteri itu berkata, ia bukan satu jaminan BN akan terus kekal menjadi parti pemerintah walaupun sudah menguasai tampuk pemerintahan negara selama 53 tahun.
“Adakah ini kata kita bukan demokrasi walaupun hanya satu parti sahaja yang berkuasa? Kalau tiada demokrasi kita tak akan lihat parti lawan duduk di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen . . . kadang-kadang ramai, kadang-kadang kurang, pada 2004, 90 peratus ia dikuasai satu parti tapi pada 2008 kita kalah lima negeri dan tak dapat dua pertiga dalam Parlimen.
“Ini menunjukkan rakyat boleh pilih, demokrasi kita memang tepat . . . kuasa diberi kepada rakyat untuk tentukan siapa jadi pemerintah,” katanya pada Forum Cabaran Semasa Demokrasi dan Perlembagaan Ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di bangunan Parlimen di sini.
Jelas Dr Mahathir, rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk menjatuhkan mana-mana pemerintah yang tidak disukai termasuk BN.
“Di negara kita ada demokrasi, walaupun 53 tahun ia dikuasai hanya sebuah parti sahaja dan parti lain tak dapat kalahkan parti ini selama 53 tahun.
“Kalau rakyat tak suka dengan pemerintah, ia boleh jatuhkan pemerintah. Di Malaysia ia bukan mustahil tapi di negara lain ia mustahil,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya merampas empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah dengan mengekalkan Kelantan di bawah kepimpinan PAS.
Bagaimanapun Perak jatuh ke tangan BN ekoran tindakan melompat keluar tiga Adun Pakatan Rakyat.
Mengakui sistem demokrasi negara tidak sempurna, Dr Mahathir berkata, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak perlu menerima hakikat dan jangan bertindak lebih dari yang sepatutnya.
“Demokrasi bukan sistem yang sempurna, kita beri kuasa kepada rakyat cuma kadang-kadang mereka tak cekap, yang majoriti selalu pilih tak kena.
“Sebab itu kita harus terima hakikat dan usaha setakat yang mampu, lebih daripada itu tak boleh,” katanya.
Tambah Dr Mahathir, amalan demokrasi negara tidak seperti sesetengah negara lain yang hanya satu parti berkuasa.
“Ada negara yang saya tak nak sebut nama tapi boleh teka, yang sejak merdeka pada 1965 hanya diperintah oleh satu kerajaan. 
“Kalau ada pemimpin pembangkang yang boleh mencabar mereka akan dihadapkan ke mahkamah kerana hasutan, kalau dapat masuk dalam Parlimen pun tak dibenarkan bercakap,” katanya.


No comments:

Post a Comment