Saturday, February 26, 2011

Dua musuh tradisi kembali uji populariti di Merlimau, Kerdau

 
JASIN, 26 Feb — Kedua-dua “musuh tradisi” — PAS dan Umno — kembali mewakili perikatan masing-masing dalam satu lagi pilihan raya kecil serentak, yang dilihat sebagai medan persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13.





Meskipun kemenangan dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini - DUN Merlimau, Melaka, dan Kerdau, Pahang - tidak akan mengubah status quo kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN), tetapi ia dilihat penting untuk memperoleh kemenangan moral dan “pembakar semangat” bagi menghadapi pilihan raya umum.

BN akan menurunkan wakil Umno untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan. 
PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, perikatan berusia tiga tahun, untuk mencatatkan kemenangan bagi mengetepikan tanggapan negatif ekoran kekalahan berturut-turut dalam pilihan raya kecil sebelum ini. Ia kalah di Galas November lalu dan Tenang bulan lalu.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, sambil mendakwa PAS tidak mempunyai peluang, Ketua Umno Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah mendakwa parti Islam itu dengan kerjasama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat akan “mencipta” pelbagai isu sensasi sepanjang kempen pilihan raya kecil Merlimau yang bermula hari ini.
Pilihan raya kecil ke-15 ini bakal menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad yang juga ahli jawatankuasa Umno Jasin dan calon PAS Yuhaizat Abdullah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari.
Menurut Ahmad, kerusi DUN Merlimau penting kepada Umno-BN bagi meneruskan siri kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil sebelum ini.
Dalam pilihan raya kecil terbaru di Tenang, Johor, BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut melalui calonnya Mohd Azahar Ibrahim.
“Ia ada kepentingan yang signifikan supaya kita dapat kekalkan prestasi dan jadikan Merlimau sebagai satu kemenangan yang baik selepas beberapa siri pilihan raya kecil yang memihak kepada kita.
“Pilihan raya kecil yang lalu kita mencatatkan kemenangan, ini satu momentum terbaik dan sudah jadi tanggungjawab untuk kita mencapai kemenangan terbaik,” kata Ahmad.
Jelas Ahli Parlimen Jasin itu, memandangkan Merlimau tidak mempunyai isu besar beliau menjangkakan Pakatan Rakyat akan “mencipta” isu dengan harapan ia akan dapat meraih sokongan pengundi.
“Di Merlimau tak ada isu besar kalau ada pun isu-isu kecil yang dapat kita tangani tapi kita jangkakan mereka (Pakatan Rakyat) akan membuat isu dan cerita.
“Mereka akan sensasikan itu dan kita sudah jangkakan tapi tiada yang boleh menarik minat orang . . . kalau mereka terus macam ini nanti orang akan lali,” katanya.
Ditanya soal keyakinan BN dalam memenangi pilihan raya kecil itu, Ahmad berkata pengundi-pengundi di Merlimau kini akan terus memberikan sokongan kepada parti itu berbanding Pakatan Rakyat.
“Kalau lihat kepada ‘mood’ pengundi, mereka sudah yakin kepada kerajaan, yakin kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
“Faktornya adalah Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bekerja, ia adalah faktor kemenangan.
“Jangkaan saya kita akan dapat atasi mejoriti pada pilihan raya umum 2008, semua kaum sekarang sudah yakin kepada keyakinan itu bertambah dan meningkat,” katanya.
Selain itu, beliau juga meminta agar pemimpin BN dan Pakatan Rakyat untuk tidak melakukan serangan peribadi terhadap calon masing-masing.
“Selain itu, saya juga minta kedua-dua parti tidak membuat serangan peribadi. Saya harap ia tidak berlaku.
“Kita berlawanlah secara adil dan bersih tidak perlu buat serangan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata kerusi DUN Merlimau penting kepada parti Islam itu kerana ia akan menjadi kawasan pertama yang dimenangi di Melaka.
Selain itu, beliau juga berkata kemenangan PAS tidak akan mengubah sebarang struktur kepimpinan kerajaan negeri sebaliknya hanya akan tambah bilangan wakil rakyat Pakatan Rakyat di Melaka.
“Merlimau tak ubah apa-apa pun, kerajaan negeri tidak akan jauh, ketua menteri dan barisan Exco adalah sama dan ia diteruskan walaupun PAS menang.
“Tapi ia penting bagi kita sebab kita nak seorang wakil yang dalam dewan akan menegakkan Islam, sekarang kalau kita lihat bila DAP bangkitkan Islam ia akan ditempelak, jadi ini yang penting, kita mahu seorang wakil yang boleh bercakap soal Islam dalam dewan, pengundi tidak perlu takut,” kata Halim yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Merlimau.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN yang mana 23 daripadanya dimiliki BN manakala lima lagi diwakili DAP.
Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa mengakui peluang PAS untuk menang sukar namun ia bukan alasan untuk tidak bertanding.
“Sebab itu kita bertanding walaupun agak sukar dan saya sendiri akui ini kubu kuat BN tapi kita tetap mahu letak calon kerana kalau tidak rakyat akan aggap BN yang terbaik.
Ini juga merupakan satu ujian kepada kita bertanding di kubu kuat BN dan kita tidak akan tahu keputusan kalau tiada perbandingan,” katanya.
Seperti di Merlimau, pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh akan dibuka pada 9 pagi ini.
Pegawai pengurus pilihan raya kecil itu Datuk Tarif Abdul Rahman berkata pusat berkenaan dibuka selama satu jam untuk urusan mengemukakan kertas pencalonan, diikuti tempoh bantahan selama satu jam selepas itu.
Dipetik Bernama, beliau berharap semua parti politik mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan raya semasa proses penamaan calon berkenaan. 
Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Barisan Nasional pada 12 Februari lepas.
Tarikh pengundian juga ditetapkan pada 6 Mac.

No comments:

Post a Comment