Wednesday, January 19, 2011

Jakim: Syor hadkan penggunaan pembesar suara melampau, berniat jahat

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyifatkan sebarang cadangan agar mengehadkan penggunaan pembesar suara di masjid hanya kepada tujuan azan sebagai “melampau” dan berniat jahat.
Beliau menegaskan masjid dan surau bukan tempat bersolat sahaja, tetapi turut diadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah untukn masyarakat.
“Untuk hadkan pembesar suara kepada azan sahaja adalah cadangan yang melampau dan berniat jahat.
“Masjid dan surau bukan hanya tempat bersolat, banyak lagi aktiviti berfaedah lain yang dijalankan di masjid dan surau,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Justeru, beliau berkata pihaknya akan mengarahkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan supaya meneruskan amalan pembesar suara seperti biasa.
“Jakim akan arahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan teruskan amalan biasa sejak sebelum merdeka.
“Jika ada aduan nada speaker (pembesar suara) terlalu perlahan kami akan arahkan ditinggikan pada kadar munasabah,” katanya.
Wan Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya hanya azan sahaja yang menggunakan pembesar suara manakala bacaan lain tidak perlu.
Asri berpendapat umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan selain azan, yang dibuat melalui pembesar suara supaya tidak mengganggu orang luar dan juga mereka dalam masjid.
Harussani menyifatkan tindakan pengurusan masjid menggunakan pembesar suara selain azan di masjid hanya akan mengganggu ketenteraman orang lain terutamanya orang bukan Islam.
Kontroversi isu azan timbul selepas seorang peguam bukan Islam mempertikaikan bunyi azan yang terlalu kuat sehingga mengganggunya.
Namun peguam tersebut, Ng Kian Nam yang juga ahli MCA memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.
Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.
Ekoran itu, Perkasa dan Pekida telah mengadakan protes di pekarangan masjid berkenaan bagi mengecam tindakan Ng yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.
Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.

No comments:

Post a Comment