Sunday, January 9, 2011

Chile iktiraf Palestin negara bebas

SANTIAGO 8 Jan. – Chile muncul negara terbaru mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, kata Menteri Luarnya Alfredo Moreno semalam.
Beliau ketika membaca pengisytiharan kementerian itu berkata, kerajaan Chile telah mengadaptasi resolusi yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas, merdeka dan berdaulat.
Beliau menambah, Presiden Chile, Sebastian Pinera akan melawat Israel dan wilayah Palestin pada 4 dan 5 Mac ini.
Tahun lalu Brazil, Argentina, Bolivia dan Ecuador mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas dan Uruguay menyatakan negara itu juga akan mengikut jejak langkah sama tahun ini.
Kenyataan Chile itu tidak menyebut mengenai sempadan negara Palestin seperti yang dijelaskan jiran Amerika Selatannya iaitu sama seperti sempadan dibentuk pada 1967.
Sempadan itu ditetapkan sebelum Israel menakluk Tebing Barat termasuk timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza semasa konflik Arab-Israel yang dinamakan Perang Enam Hari.
Cuba, Venezuela, Nicaragua dan Costa Rica sebelum ini telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Sempadan negara Palestin merupakan isu paling sukar dibincangkan dalam rundingan damai dengan Israel.
Rundingan langsung pertama sejak hampir dua tahun antara Palestin-Israel yang bermula pada 2 September lalu, terhenti selepas tempoh pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi selama 10 bulan berakhir. – AFP

No comments:

Post a Comment