Tuesday, January 25, 2011

Amaran Soi Lek: Undi PAS hanya kukuh kedudukannya di Pakatan.

LABIS, 25 Jan — MCA, rakan Umno dalam Barisan Nasional (BN), terus menyerang PAS dengan hari ini memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat (PR).
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam PR parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.
“Jika Pakatan menang di peringkat persekutuan, yang saya rasa tidak mungkin, PAS akan menjadi ketua, selaku parti yang ada lebih banyak sumber berbanding DAP dan Keadilan," kata Dr Chua pada sidang media di sini hari ini.
Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa calon PAS Normala Sudirman enggan bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.
Perkasa dan Mufti Perak menggesa Dr Chua memohon maaf atas alasan kenyataannya menghina umat Islam negara ini.
Pagi tadi PAS menerusi Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali meminta Umno menasihatkan MCA supaya menghormati adat dan tatatertib orang Islam.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan komponen BN termasuk MCA supaya tidak bergantung kepada isu bersalam calon wanita PAS, sebaliknya memberi tumpuan ke atas isu-isu lain.
Isu negara Islam dibawa PAS juga menjadi bahan kempen di Tenang, sebagaimana disaksikan dalam kebanyakan pilihan raya umum sebelum ini dan ketika kebanyakan pilihan raya kecil sejak Mac 2008.
PAS, DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.
Bekas menteri kesihatan itu turut merujuk kepada kerajaan negeri Perak di mana Adun PAS Datuk Seri Nizar Jamaluddin dijadikan menteri besar meskipun DAP menguasai 18 kerusi negeri manakala PAS pula enam dan PKR tujuh.
“Gabungan kerusi Keadilan dan PAS juga tidak dapat mengatasi DAP, tetapi PAS menjadi MB,” kata Dr Chua.
“Jadi, PAS berupaya untuk memperluaskan sayapnya dari Kelantan ke Kedah dan Perak walaupun di Perak, saya pasti sekurang-kurangnya 45 peratus penduduk adalah Cina,” kata beliau.
PAS memerintah Kelantan sejak 1990.
Ditanya mengenai kemajuan dicapai MCA di kawasan-kawasan masyarakat Cina sejak kempen bermula Sabtu lalu, Dr Chua berkata, beliau tidak suka membuat spekulasi.
“Jangan buat spekulasi, kami perlu fokus pada perkara-perkara yang konkrit. Apa gunanya membuat spekulasi 60 peratus, 75 peratus, yang paling penting jentera mesti terus bekerja kerjas,” kata bekas ahli Parlimen kawasan Labis.
Pada 2008 beliau digantikan oleh anaknya bertanding di Labis.
MCA dikatakan berhadapan dengan tekanan untuk menguasai untuk menguasai sokongan komuniti Cina menjelang hari pengundian Ahad ini.
Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi kerusi DUN Tenang dengan hanya 42 peratus sokongan pengundi Cina.
Daripada lebih 14,000 pengundi, seramai 39 peratus merupakan pemilih kalangan masyarakat Cina.
Pengundi Melayu terdiri daripada 47 peratus manakala orang India pula 12 peratus.

No comments:

Post a Comment