Thursday, December 23, 2010

Sime Darby saman bekas CEO, empat lagi tuntut RM177 juta

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Sime Darby Bhd memfailkan saman terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dan empat pegawai utamanya berhubung kerugian RM2.1 bilion membabitkan tiga projek konglomerat itu.
Ia menuntut ganti rugi RM177 juta daripada kelima-lima mereka ekoran kerugian dialaminya.
Konglomerat kerajaan itu juga menyaman Datuk Mohamad Shukri Baharom iaitu bekas naib presiden ekskutif Bahagian Tenaga dan Utiliti; ketua pegawai kewangan bahagian itu Abdul Rahim Ismail dan ketua unit minyak dan gasnya Abdul Kadir Alias serta Mohd Zaki Othman dari Sime Engineering.
“Kesemua mereka disaman kerana melanggar tanggungjawab mereka kepada Kumpulan Sime Darby,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.
Katanya, tindakan perundangan itu bertujuan mendapatkan balik kerugian dialami Kumpulan Sime Darby menerusi projek petroleum di Qatar, projek Maersk Oil Qatar (MOQ) dan projek pembinaan kapal bagi kegunaan MOQ, yang dikenali sebagai  “Marine Project”.
Kumpulan Sime Darby menuntut daripada defendan-defendan wang yang dibayar dengan cara yang tidak betul, ganti rugi bagi kerugian dialami, kehilangan keuntungan, kerugian dan kos yang meningkat.
Peguam-peguam Sime Darby adalah dari firma Zaid Ibrahim & Co.
Zaid Ibrahim & Co dilantik untuk menjalankan siasatan perundangan berhubung kerugian dalam projek-projek berkenaan.
Kenyataan itu menjelaskan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini.
Setiap defendan dituntut membayar balik RM80.51 juta, yang dibayar dengan cara yang tidak betul bagi projek petroleum Qatar.
Sime Darby juga menuntut AS$48 juta daripada  Zubir dan Shukri, ekoran kerugian daripada kegagalan membekalkan kapal.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan ada ia menemui beberapa elemen pelanggaran peraturan yang membawa kepada masalah dialami Sime Darby itu.
sumber - themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment