Wednesday, December 15, 2010

Perjuangan ketuanan Melayu sia-sia - Nik Aziz

KOTA BAHARU 14 Dis. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perjuangan ketuanan Melayu hanyalah perjuangan yang sia-sia.
Beliau berkata, tindakan melaung-laungkan ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan orang Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.
Katanya, apa yang pelik, di samping menjulang ketuanan Melayu, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah.
"Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.
"Buktinya, di Kelantan yang majoriti bangsa Melayu dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh ketuanan Melayu. Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, raja-raja Melayu berhak bimbang mengenai perkara tersebut jika benar orang- orang Melayu terancam.
Justeru katanya, semua pihak perlu mencari penawar yang betul untuk mengubati penyakit yang berlaku.
"Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa," katanya.
Nik Abdul Aziz berkata, al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, sebaliknya yang melebihkan mereka hanyalah takwa kepada Allah SWT.
"Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertakwa kepada Allah SWT. Bangsa yang melakukan hampir kesemua jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam.
"JIka bangsa Arab yang sedemikan jahil itupun dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam.
"Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku?," soalnya.
Beliau mendakwa, selama 20 tahun menerajui kerajaan Pas Kelantan dengan tidak pernah menyebut ketuanan Melayu, orang Melayu tetap terbela dan terjaga, manakala kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di negeri ini.
Justeru, beliau melahirkan kebimbangan seandainya ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan menyemarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.
"Di sudut lain pula, ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah suatu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu 'dikebumikan' secara terhormat oleh ketuanan Melayu.
"Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan ketuanan Melayu jugalah yang bertanggungjawab terhakisnya tanah rizab Melayu di seluruh negara. Jenayah ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis.
"Ia menyimpulkan bahawa ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekali pun," katanya.

2 comments:

  1. @ Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu 'dikebumikan' secara terhormat oleh ketuanan Melayu.
    -
    Orang Melayu harus malu menggunakan Rumi di tempat Jawi.
    -
    Membandingkan dengan Rumi:
    1. Jawi lebih indah, lebih mudah, lebih menarik.
    Rumi = 26 +A+B+D+E+G+H+Q+R = 17x2= 34 bentuk berdiri sendiri.
    Huruf Arab + 6 Jawi - titik-2 = Sahaja 17 bentuk yang manis + tari-menari.
    Tidak seperti Rumi, Jawi suka bercantum.
    Hanya ekor perubahan seperti yang ditunjukkan di sini:
    http://www.arabictypography.com/ani1.html
    2. BM adalah bahasa fonetik, seperti Arab.
    Cara terbaik adalah ditulis (dan dibaca) dalam Jawi
    -
    Tetapi kebanyakan orang Melayu + Indons tidak mengetahui.
    -
    http://typophile.com/node/74436

    ReplyDelete