Thursday, December 16, 2010

Parlimen gantung Anwar enam bulan tanpa bahas usul

 

 Anwar digantung kerana mengaitkan APCO Worldwide dengan gagasan 1 Malaysia. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Parlimen pagi ini menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan tanpa membahaskan sama sekali laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dibentangkan kelmarin.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu digantung ekoran dakwaan beliau mengenai isu berkaitan APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia.
Tiada perbahasan diadakan berhubung usul menggantung Anwar selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin mendakwa pembangkang bertindak tidak sopan, menunjukkan mereka tiada berhasrat untuk membahaskan usul tersebut.
“Saya tidak melihat adanya hasrat di pihak pembangkang untuk membahaskan perkara ini. Jadi, kita akan meneruskan dan akan mengundi perkara ini tanpa dibahaskan,” kata Pandikar walaupun ada kedengaran rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli Barisan Nasional.
Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari awal lagi telah berusaha untuk melengah-lengahkan penggantungan Anwar dengan cuba mencela dan mempertikaikan Pandikar dari semasa ke semasa.
Mereka juga kelihatan membawa pelekat-pelekat yang membawa mesej “mahkamah kanggaru” ke dalam Dewan Rakyat.
Kesemua wakil rakyat Pakatan Rakyat bertindak keluar Dewan Rakyat selepas usul menggantung Anwar diluluskan.
Dewan sedang membahaskan usul hukuman menggantung enam bulan ke atas  Azmin Ali, Karpal Singh dan Sivarasa Rasiah.
Ketika itu tidak ada anggota Pakatan Rakyat dalam Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat semalam dibentangkan dengan usul yang mencadangkan supaya tiga anggota Parlimen pembangkang itu digantung enam bulan kerana menghina dewan.
Usul dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan supaya Karpal (DAP-Bukit Gelugor), Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin (PKR-Gombak) digantung enam bulan daripada menghadiri sidang dewan kerana menghina majlis berkenaan.

Karpal, Azmin, Sivarasa juga digantung Parlimen enam bulan

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Dewan Rakyat mencipta “sejarah” dengan mengenakan hukuman gantung enam bulan membabitkan tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam sehari selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami nasib yang sama hari ini.
Ketiga-tiga wakil rakyat itu ialah Ahli Parlimen R. Sivarasa (PKR-Subang), Azmin Ali (gambar) (PKR-Gombak) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berhubung kesalahan menghina Dewan Rakyat dengan mendedahkan prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang mendengar kes Anwar-APCO.
Tidak seorang pun wakil rakyat Pakatan Rakyat berada di Dewan Rakyat ketika usul menggantung ketiga-tiga mereka dibahaskan.
Terdahulu Anwar dikenakan hukuman yang sama.

No comments:

Post a Comment