Saturday, December 11, 2010

Konvensyen kedua Pakatan elak debat negara Islam, kata Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Sebagaimana dijangkakan, Pakatan Rakyat (PR) akan mengelak isu-isu sensitif, antaranya dasar negara Islam yang hendak dibawa PAS, sebaliknya hanya akan memfokus isu-isu kepentingan bersama ketika konvensyen perikatan tiga parti itu hujung minggu depan.
Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) mengetepikan cakap-cakap mengenai pendirian terbaru PAS yang mahu meneruskan usaha menubuhkan negara Islam jika mengambil alih Putrajaya dengan berkata, konvensyen itu bukan tempat untuk membawa isu berkenaan.
“Dalam mesyuarat tadi, Hadi hadir, Mustafa Ali juga hadir dan mereka menjelaskan bahawa isu-isu yang akan fokus adalah isu bersama,” katanya.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan Presiden PAS manakala Datuk Mustafa Ali adalah setiausaha agungnya.
“Mengapa seharusnya kita membawa isu-isu yang belum ada konsensus bersama. Keputusan kami sebagai Pakatan Rakyat adalah berdasarkan konsensus,” kata Anwar kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PR di sini hari ini.
Anwar menjelaskan keputusan itu tidak bermakna PR tidak meletakkan keutamaan terhadap soal Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.
“Bagaimanapun (ketika konvensyen), kami sebagai PR akan bergerak bersama dalam soal isu, agenda yang kami telah bersetuju secara bersama,” kata Anwar lagi.
Hadi yang turut hadir pada sidang media itu tidak mengulas mengenai kenyataan beliau mengenai isu negara negara Islam sebelum ini.
Sebaliknya ketua parti Islam itu hanya memberitahu bahawa pertemuan kedua minggu depan merupakan “kemajuan” daripada konvensyen tahun lalu.
“Kami (mahu) bergerak ke depan hasil resolusi Shah Alam, yang bersandarkan pada Perlembagaan. Umno di sebelah lain telah gagal dalam mempertahankan prinsip-prinsip Islam,” kata Hadi.
Hadi juga enggan mengulas laporan mengenai isu bukan Melayu ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri jika PR menguasai pilihan raya umum ke-13.
“Kami akan ikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan dalam soal ini. Kami belum menang lagi ataupun menerajui kuasa (pemerintahan), jadi kami tidak boleh melakukannya, tidak boleh bercakap mengenainya lagi. Kami akan lakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” kata Hadi.
“Jawatan timbalan perdana menteri tidak dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden hari ini, kecuali kami bersetuju bahawa apa jua pelantikan yang akan dibuat adalah berdasarkan pada Perlembagaan,” kata Lim Kit Siang pada sidang media itu.
Anwar juga berkata PR belum lagi memutuskan mengenai logo rasmi mereka.
Tambah beliau, ketiga-tiga parti belum memutuskan perkara itu lagi.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan mengapa persetujuan gagal dicapai mengenai isu itu sehingga kini.
Berhubung soalan mengenai peruntukan kerusi pilihan raya umum ke-13, Lim berkata, PR belum sampai ke tahap itu lagi.
“Kami belum sampai tahap itu lagi, kami belum berbincang soal peruntukan kerusi yang sebenar dan kami akan menguruskannya selepas konvensyen,” kata Lim yang juga Penasihat DAP.
Anwar juga berkata, konvensyen PR kali ini akan memfokus agenda PR dalam memahami Perlembagaan dan juga isu-isu ekonomi dan pendidikan.
“Mengenai (PR mempunyai) dasar ekonomi formal, kami masih meneliti draf akhir tetapi apa yang kita boleh lihat ialah adanya satu konsensus dalam sesetengah aspek ekonomi, prinsip federalisme dan isu-isu lain yang akan diumumkan nanti, kemungkinan sebelum konvensyen, kerana kami ada mesyuarat majlis kepimpinan PR Rabu ini di (bangunan Parlimen),” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
PR yang dibentuk April 2008 merupakan perikatan dianggotai PAS, PKR dan DAP.
Mereka memenangi lima negeri pada pilihan raya umum Mac 2008 dan 82 kerusi Parlimen tetapi beberapa wakil rakyatnya telah keluar parti sejak itu.
PR mengadakan konvensyen sulung di Shah Alam Disember lalu dan menerima Dasar Bersama.
Sumber - themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment