Tuesday, December 21, 2010

Guan Eng nafi pertikai taraf kerakyatan sesiapa

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah mempersoalkan atau mempertikaikan taraf kewarganegaraan mana-mana rakyat negara ini, kata pegawainya hari ini. Sehubungan itu setiausaha akhbarnya Cheong Yin Fan menyifatkan tindakan Utusan Malaysia dan pemimpin Umno yang memutarbelitkan perkara itu sebagai jahat dengan niat menabur fitnah.
“Jelas, Utusan Malaysia dan pemimpin Umno Pulau Pinang seperti Dr Novandri Hasan Bari sekali lagi bertindak jahat menabur fitnah dengan menggembar-gemburkan kononnya Ketua Menteri mahu kerakyatan warga Malaysia dipersoalkan.
“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, rakyat Malaysia  yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik. Rakyat Malaysia sebenar mahukan sebuah masayarkat aman, tenteram dan penyayang serta menyokong prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan.
“Yang bukan rakyat Malaysia sebenar adalah yang hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman eskstrimis baik aspek kaum, jantina mahupun agama, yang tamak haloba di mana demi godaan wang rasuah atau yang lain rela menjualkan segala-galanya serta kaki fitnah dan tohmah. Yang kesemua ini bukan rakyat Malaysia sebenar, mereka ini Malaysia Celup atau ‘pseudo-Malaysians’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cheong turut mengemukakan salinan ucapan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP ketika Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas kelmarin.
Cheong juga menyarankan supaya teks ucapan bertajuk “Kerajaan Berjiwa Rakyat Untuk Rakyat Malaysia Sebenar” itu dibaca oleh pihak-pihak berkenaan.
Antara intipati ucapan Lim (gambar) adalah:

“Akan tetapi Program 100 Hari bukanlah untuk semua orang. Bukan untuk orang yang menentang konsep kerajaan berjiwa rakyat, melawan martabatkan rakyat dan memusuhi ketuanan rakyat. Program 100 Hari ini adalah untuk rakyat Malaysia sebenar, tulin dan watan – ‘the real Malaysians’.
“Siapa rakyat Malaysia sebenar ini yang sering dilupakan oleh media massa dan kerajaan BN? Sebelum mengenal pasti mereka, kita harus dulu menyatakan siapa yang bukan Malaysia sebenarnya. ‘Who are not the real Malaysians’?
“Saya ingin mula dengan mereka yang hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman eskstrimis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.
“Golongan yang hanya tahu mendiskriminasi, menganiayai dan merendahkan orang lain malah meraikan peristiwa berdarah 13 Mei bukanlah rakyat Malaysia sebenar.
“Kebanyakan mereka pendokong dan peminat Utusan Malaysia dan BN yang hanya peralatkan isu 3R (‘race, religion dan raja’).
“Satu lagi gologan ialah yang bukan “real Malaysians” adalah yang tamak haloba di mana demi godaan wang rasuah atau yang lain rela menjual segala-galanya.
“Tambah pula kaki fitnah dan tohmah, golongan mata duitan, materialisme dan penipu ini bukan juga rakyat Malaysia sebenar. Kita tidak boleh pertimbangkan suatu lagi golongan yang hanya mahu syok sendiri atau suka tunjuk pandai. Kalau tak diberikan tempat atau ikut nafsu jahat mereka, maka mereka akan lompat atau belah sahaja.
“Yang kesemua ini bukan rakyat Malaysia sebenar, mereka ini Malaysia Celup atau ‘pseudo-Malaysians’.
“Rakyat Malaysia yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik. Inilah rakyat Malaysia sebenar yang kita di PR harus tumpukan.
“Saya percaya rakyat Malaysia sebenar mahukan sebuah masayarkat aman, tenteram dan penyayang serta menyokong prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan. PR harus fokuskan perhatian dan usaha gigih kita ke atas golongan pertengahan ini yang merupakan majoriti terbesar dan sering dilupai oleh media massa dan BN.
“Rakyat Malaysia sebenar mahukan keadilan dan kedaulatan undang-undang agar kita dilayani secara sama rata. Yang mereka akan lebih sanjung bukanlah pemimpin individu yang berwibawa tetapi sistem yang berkesan. Sistem yang membolehkan sesiapa yang ingin jalankan urusan kerajaan boleh lakukannya tanpa menerusi pihak ketiga atau kenal orang tengah, hanya kenal undang-undang dah cukup – itulah sistem kedaulatan undang-undang yang rakyat Malaysia sebenar mahukan.
“Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebenaran supaya masyarakat dan anak-anak kita tidak akan hancur. Dalam agama Islam pun dinyatakan fitnah adalah lebih dasyat daripada bunuh, takkan lagi nak percaya Satu Malaysia yang bertopengkan One Israel dan Tipu Malaysia.
 “Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebebasan, kebebasan daripada penyalahgunaan kuasa yang rakus, amalan rasuah dan ancaman atau kebebasan daripada ketakutan. Hanya dengan kebebasan hak asasi manusia baru kita boleh mendapat peluang sama rata untuk merealisasikan potensi modal insan.
“Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebajikan sebenar agar golongan daif, asnaf, miskin, kurang upaya dan lemah dapat terus dibela. Kemiskinan akan dilawan berhabis-habisan supaya semua dapat kecapi hasil kejayaan ekonomi.
“Rakyat Malaysia juga hendak bertakwa kepada Tuhan agar kita menjadi insan baik yang takut kepada Tuhan dan bukan taksub kepada pemimpin dan isteri mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Chong berkata Lim menyaman akhbar Utusan Malaysia kerana didakwa mengeluarkan fitnah dan tohmahan ke atasnya dalam laporan berita yang dikeluarkan.
Cheong mendakwa akhbar milik Umno itu banyak memfitnah Lim, seperti dalam isu perarakan Maulud Nabi, perobohan kampung Melayu dan pasar Ramadan Komtar.
“Oleh kerana Utusan tidak memberikan hak menjawab kepada ketua menteri, maka tidak ada pilihan lain kecuali untuk memfailkan saman malu di mahkamah demi kebenaran dan keadilan,” kata Cheong.
Menurutnya, saman itu akan diuruskan oleh firma guaman Karpal Singh & co.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempertikaikan taraf kewarganegaraan mana-mana rakyat negara ini tidak kira sama ada mereka adalah penyokong Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya.
Beliau berkata semua rakyat dalam negara ini harus tahu menjaga sensitivti dan isu kewarganegaraan tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan permainan.
“Siapa kita untuk tentukan semua ini? Permainkan isu warganegara ini adalah tidak wajar sama sekali dan ini harus dihentikan,” katanya di Balik Pulau.

No comments:

Post a Comment