Sunday, November 21, 2010

Raya tergendala akibat banjir

SAUK – Segala urusan dan persiapan penduduk dari beberapa kampung di sekitar Sauk, di sini, sempena menyambut perayaan Aidiladha tergendala akibat bencana banjir yang melanda penempatan mereka, kelmarin.

Sebanyak 50 rumah di Jenalik, Biong, Kati dan kampung berhampiran menjadi sasaran banjir malah merupakan paling buruk pernah berlaku di sini.

:Mangsa banjir bukan sahaja tidak dapat menyediakan persiapan untuk menyambut Aidiladha tetapi turut mengalami kerugian kerana banyak barangan berharga musnah ditenggelami air.

Mangsa, Rosidah Talib, 63, berkata, kejadian berkenaan adalah banjir paling buruk yang dialami kerana sebelum ini Jenalik tidak pernah dinaiki air sehingga ke paras pinggang.

Menurutnya, barangan keperluan yang dibeli untuk memasak pada hari raya turut dihanyutkan air dan mereka terpaksa menyambutnya secara ala kadar sahaja.

“Sebelum ini, pernah berlaku banjir tetapi tidak seteruk ini dan kami juga terkejut dengan keadaan itu tetapi terpaksa menerima sebagai ketentuan-Nya.

“Beberapa barangan berharga dan elektrik turut rosak kerana tidak sempat untuk diselamatkan memandangkan air naik dengan begitu cepat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, pada pagi raya memang dia sekeluarga tidak dapat meraikan apa-apa kerana kerja membersihkan rumah belum selesai.

Mangsa, Jamilah Hashim, 49, turut menanggung kerugian kecil dan terpaksa melupakan hasrat meraikan hari raya dengan meriah bersama keluarga.

“Banjir kali ini memang teruk sehinggakan banyak barangan tenggelam dan rosak menyebabkan persiapan raya terpaksa dihentikan.

“Kami juga tidak dapat tidur lena dengan keadaan ini dan kerja membersihkan rumah pula bukan perkara mudah,” katanya.

Mangsa, Azmi Puteh, 46, berkata, air mulai naik kira-kira jam 8 malam dan dia bernasib baik kerana sempat memindahkan barang berharga ke tempat selamat.

“Rumah pun belum lagi siap dicuci tetapi persiapan raya kali ini saya buat secara ala kadar sahaja memandangkan hanya tinggal seorang diri.

“Saya tidak berdepan kerugian besar melainkan perlu membersihkan rumah sahaja kerana sempat bertindak sebelum air naik,” katanya.

Bekalan air terganggu

Sementara itu, mangsa, Sabariah Uda Mat Yasin, 67, berkata, lebih memburukkan keadaan apabila bekalan air turut terganggu akibat bencana banjir berkenaan.

“Alhamdulillah, tidak berlaku perkara buruk walaupun terpaksa meredah banjir dan barangan berharga juga sempat diselamatkan dengan bantuan anak buah.

“Saya tinggal di sini sejak lahir lagi dan ini kejadian paling teruk malah kerja pembersihan juga tidak dapat dilakukan dengan cepat kerana kadangkala bekalan air terputus,” katanya.

Seorang lagi mangsa dari Kampung Biong, Habsah Mohd Kassim, 52, berkata, banjir yang melanda bukan perkara baru bagi penduduk kerana kampung mereka sering dinaiki air kdisebabkan faktor semula jadi.

“Pada hari kejadian saya tiada di rumah kerana keluar bekerja dan apabila pulang air sudah mencecah paras lutut.

“Di kampung ini memang selalu banjir seperti ini dan baru sahaja beberapa bulan lalu kami berdepan masalah yang sama,” katanya.

Katanya, barangan di rumah memang sempat diselamatkan tetapi lantai rumah semakin lama semakin teruk kerana rosak akibat banjir.

Mangsa, Bariah Lebai Ramli, 66, berkata, bukan sahaja barangan di dalam rumah rosak tetapi tempat tidurnya juga turut dinaiki air.

“Habis semua katil, bantal tilam basah ditenggelami air dan saya terpaksa menumpang tidur di rumah jiran.

“Sudah berpuluh-puluh tahun saya tinggal di sini dan terpaksa berdepan masalah banjir yang tidak berkesudahan,” katanya.

ADUN bantu ringankan beban

Bagaimanapun, bagi meringankan beban mangsa, bantuan segera daripada peruntukan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan pihak Parlimen Kuala Kangsar dihulurkan kepada mangsa.

Siti Salmah, berkata, pihaknya turut bersimpati dengan musibah yang melanda penduduk dan berusaha menghulurkan sumbangan mengikut keperluan.

“Kita bagi sumbangan bukan berhasrat mengganti kerugian dialami penduduk tetapi sekadar membantu mengurangkan beban.

“Lebih menyedihkan kita dalam persiapan menyambut raya dan walaupun mungkin kerja membersihkan rumah masih tidak siap kita berharap penduduk dapat bersabar," katanya.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada anggota Rela Daerah Kuala Kangsar yang turun padang a membantu kerja pembersihan rumah penduduk dan melakukan kerja memotong kayu kerana sebuah rumah di sini dihempap pokok.

“Masalah ini tidak pernah kita ambil ringan dan kita akan terus bersama penduduk untuk berdepan situasi ini, sekali gus cuba mencari jalan penyelesaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment