Saturday, October 16, 2010

Protokol JPM tak nasihat atau Rosmah degil?

TEMERLOH, 15 Okt: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mempersoalkan sama ada penggunaan gelaran ‘Wanita Pertama’ oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang berakhir 13 Oktober yang lalu adalah akibat daripada kealpaan Bahagian Protokol Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menasihati beliau ataupun disebabkan kedegilan beliau sendiri.

“Rosmah sepatutnya malu untuk menggunakan gelaran ‘First Lady’, kerana umum mengetahui gelaran itu untuk Permaisuri Agong. Namun, walaupun isu ini telah dijelaskan oleh pelbagai pihak namun ianya berterusan berlaku, dan boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pimpinan asing,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau memberikan komen tersebut sebagai mengulas laporan portal Suara Keadilan yang memetik pakar perlembagaan negara, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mempersoalkan tugas Bahagian Protokol adalah di bawah JPM yang sepatutnya, pada pandangan beliau menasihatkan Rosmah mengenai penggunaan gelaran 'First Lady'.

“Sepatutnya bahagian ini menjalankan tanggungjawabnya dan memberi garis panduan kepada isteri Perdana Menteri mengenai isu ini.

"Perlembagaan amat jelas siapa sepatutnya menggunakan gelaran Wanita Pertama iaitu dalam perkara ini Raja Permaisuri Agong," tegas Dr Abdul Aziz yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dr Aziz Bari turut berkata Perkara 32(2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama Malaysia adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perkara 32(2) berbunyi, "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

“Sehubungan itu pihak istana negara disaran mengeluarkan kenyataan rasmi agar kesilapan ini tidak berterusan dan gelaran ‘First Lady’ tidak digunakan sewenang-wenangnya,” kata Tuan Ibrahim, sambil menambah bahawa tindakan Rosmah dilihat sebagai tidak memahami protokol rasmi dan juga konsep institusi Raja Berperlembagaan.

“Kalau ini berlaku dalam Pakatan Rakyat, kita yakin media perdana akan terus melabelkan kita dengan label pengkhianat,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Sumber - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment