Friday, October 15, 2010

Pasangan ditahan seludup cicak RM3j

2010/10/15 BUKIT KAYU HITAM:
Sepasang suami isteri ditahan selepas menyeludup 57 cicak gecko yang disimpan dalam buluh dianggarkan bernilai RM3 juta dalam sebuah bas ekspres di Kilometer 1.3, Lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Changlun, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, sepasukan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah menahan pasangan terbabit berusia 30-an dalam perjalanan pulang dari Hatyai ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, cicak gecko dengan berat melebihi 300 gram boleh dijual pada harga antara RM50,000 hingga RM80,000 seekor. Ia dipercayai boleh dijadikan penawar penyakit Aids.

Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman berkata, pihaknya membuat pemeriksaan rutin di laluan berkenaan sebelum menahan sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Hatyai ke Kuala Lumpur melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini.

“Hasil pemeriksaan menemui 57 cicak gecko diletak dalam buluh di tempat simpanan barang dalam bas berkenaan.

“Pasangan itu mengaku memiliki haiwan berkenaan untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur bagi tujuan perubatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment