Monday, October 11, 2010

Kelantan pembangkang, bukan musuh: Nik Aziz


PASIR PUTEH - Kelantan adalah negeri pembangkang, bukan musuh Kerajaan Pusat sehingga dinafikan pelbagai hak termasuk menafikan 118 projek pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Pusat menghentikan begitu banyak projek yang sepatutnya diperolehi negeri itu semata-mata ditadbir parti pembangkang.

Ketika mula memerintah Kelantan, katanya, Kerajaan Negeri memohon beberapa projek pembangunan termasuk membina pelabuhan dan lapangan terbang namun ditolak.

“Perdana Menteri ketika itu memberi alasan laut kita cetek, sedangkan manusia boleh menyelesaikan masalah sedemikian termasuk dengan cara mendalamkannya.

“Lapangan terbang pula, baru sekarang kita mendapat yang baru, terlalu lambat kerana kita membuat permohonan sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya ketika merasmikan Program Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, semalam.

Mursyidul Am Pas itu berkata, pemimpin Kerajaan Pusat juga telah memberi pelbagai tanggapan negatif kepada pelabur luar yang mahu memasuki negeri itu kerana mahu membiarkan Kelantan terus ketinggalan dari segi ekonominya.

Nik Aziz berkata, itulah salah satu faktor Pas melawan Barisan Nasional (BN) kerana diskriminasi yang diamalkan selain fahaman politik yang ternyata berbeza.

”Siapa pun yang berada di pihak mereka (BN) kita terpaksa lawan kerana kita bukan melawan batang tubuh tetapi kita melawan kerana ideologi mereka tidak berdasarkan Islam.

”Siapa pun kita lawan kerana lawan kita ini bermaksud untuk membetulkan, menyedarkan mereka agar tidak terpesong dengan ajaran Islam,” katanya.

Ketika ditanya isu yang akan dibangkitkan Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Nik Aziz berkata, beliau hanya menekankan ajaran Islam dan menyerahkan soal membangkitkan isu kepada pemimpin lain.

Sementara itu pada majlis berasingan di KOTA BHARU, Nik Aziz berkata, Pas akan mengumumkan calon mereka yang akan bertanding di Galas bila tiba masanya.

“Itu dia ada program dia. Akan sampai masanya. Bila tiba masanya..tak apa...saya akan beritahu. Tak payah risau,” katanya

Mengenai keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan persetujuan menerima tawaran sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, beliau berkata:

“Hak tu ikut dia (Tengku Razaleigh)...dia punya fasal. Kita lawan tetap akan lawan. Dia nak terima tak nak itu dia punya fasal. Saya kenal dia lama. Saya rasa dia tak layak jadi calon. Masa dia jadi ketua perhubungan pun di Kelantan tetapi dia sendiri tak calon diri dia untuk DUN.

“Apa ertinya masa dia sendiri jadi ketua perhubungan dia tak calon diri dia sebagai ADUN...tiba-tiba sekarang ini dia jadi Ahli Parlimen kita suruh dia turun ke bawah. Ini tak betul.”

No comments:

Post a Comment